335 projek sakit di seluruh Malaysia

335 projek sakit di seluruh Malaysia

AIMAN Athirah Sabu membuat lawatan ke Tapak Projek Residensi Hektar Gombak, dekat Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/AFIQAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Sebanyak 335 projek swasta diklasifikasikan sebagai sakit direkodkan di seluruh negara sehingga 31 Oktober lalu.

Pada masa sama, Task Force Projek Perumahan dan Kerajaan Tempatan (TFST) merekodkan sebanyak 111 projek lewat dan 105 projek terbengkalai di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, semua projek tersebut kini sedang dipantau rapat oleh kementeriannya.

Malah, menurut beliau, mesyuarat TFST pada 21 November lalu mendapati terdapat trend penurunan yang ketara terhadap ketiga-tiga projek berkenaan.

“Di peringkat projek lewat, selepas intervensi, task force kita bergerak sejak 10 bulan lalu, kita dapati terdapat 24 peratus penurunan. Ini adalah penurunan paling tinggi.

“Manakala projek sakit, daripada 353 projek pada September lalu, kini telah turun kepada 335 projek sahaja. Projek terbengkalai pula daripada 107 projek, kini tinggal 105 projek dalam tempoh sebulan,” katanya semasa sidang media mengenai TFST di Tapak Projek Residensi Hektar Gombak, di sini.

Mengulas lanjut, Aiman Athirah berkata, sebanyak 1,333 projek sakit, lewat dan terbengkalai berjaya diselesaikan sejak kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran Putrajaya.

Jelasnya, Nilai Pembangunan Kasar (GDV) daripada keseluruhan projek yang berjaya diselesaikan itu mencatat sehingga RM126.47 bilion.

“Di mana keseluruhan (projek) yang lancar adalah 104, yang kita berjaya peroleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dalam tempoh sepanjang pentadbiran kerajaan Madani (pula) 1,201 (dan) yang dipulihkan daripada terbengkalai adalah 28 projek.

“Untuk tahun ini sahaja, sebanyak 395 projek sudah berjaya kita pulihkan dengan GDV berjumlah RM33.75 bilion, melibatkan 44,806 unit rumah kediaman,” katanya.

Tambahnya, kerajaan bukan memantau projek-projek berkenaan daripada jauh tetapi turut turun bagi memantau kerja-kerja pembaikpulihan.

“Untuk tahun ini sahaja, dalam 34 projek sudah kita lakukan lawatan. Kita akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan teknikal, agensi-agensi utiliti supaya isu-isu terkait dengan peringkat masing-masing kita dapat lakukan intervensi dan dapat menyelesaikan isu-isu yang berlaku.

“Keutamaan kita sekarang adalah memastikan pembeli-pembeli rumah dapat miliki dan masuk ke dalam kediaman masing-masing,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN