3000 penduduk lega jalan runtuh siap dibaikpulih

3000 penduduk lega jalan runtuh siap dibaikpulih

JALAN Gua Musang-Jeli di Kilometer 35, siap dibaikpulih sepenuhnya dengan anggaran kos RM4.1 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 3,000 penduduk di lapan buah kampung di sekitar mukim Jerek, di sini menarik nafas lega apabila Jalan Gua Musang-Jeli di Kilometer 35, yang runtuh sejak tahun lalu siap dibaik pulih sepenuhnya dengan menelan belanja RM4.1 juta.

Seorang penduduk Kampung Jerek Tengah, Azmi Arif­fin, 47, berkata, sejak jalan baharu dibuka mereka tidak perlu risau untuk ke daerah Jeli, Tanah Merah dan Rantau Panjang.

Katanya, selepas struktur jalan utama runtuh, mereka terpaksa bergadai nyawa melalui jalan sementara yang berisiko selama setahun.

“Kami berterima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), wakil rakyat dan pihak terlibat yang menyegerakan pembina­an jalan ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Penduduk, Mohammad Ha­zerel Ashraf Hazelan, 32, berpuas hati dengan pembinaan jalan baharu yang lengkap dengan tebing dan sistem saliran lebih sistematik.

“Kami lega jalan baharu sudah dapat digunakan untuk berulang-alik ke bandar Gua Musang dan ke Jeli. Sekiranya cuaca hujan, kami tidak perlu lagi bimbang dengan limpahan air atau kejadian hakisan ta­nah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, projek pembaikan jalan baharu di­siapkan awal daripada perancangan selepas jalan asal runtuh akibat mendapan tanah pada 29 November tahun lalu.

“Alhamdulillah, JKR dapat menyiapkan jalan baharu itu di dalam tempoh yang cepat ke­rana laluan itu adalah salah satu hot spot yang sering berlaku kejadian hakisan dan pergerakan tanah,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, lebih 3,000 penduduk di lapan buah kampung di sekitar mukim Jerek terjejas apabila Jalan Gua Musang-Jeli yang menjadi penghubung utama runtuh akibat mendapan tanah dan tanah runtuh 29 November tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN