KLANG: Perobohan rumah penduduk di Kampung Papan, Pandamaran di sini tetap berjalan dengan sekurang-kurangnya 23 buah telah dirobohkan sejak Isnin lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, sebelum dirobohkan, notis dan arahan pengosongan diberikan oleh bailif mahkamah terhadap rumah-rumah yang dikesan masih diduduki.
Bagaimanapun, ketika arahan tersebut diberikan berlaku insiden pertengkaran dan tolak menolak antara pasukan polis yang bertugas dengan sebahagian penduduk.
Mereka mendakwa pihak berkuasa perlu mematuhi keputusan mesyuarat kerajaan negeri bersama penduduk dan pemaju pada 21 Oktober lalu.
Penduduk, Mahendran, 50, berkata, dia kesal dengan arahan pengosongan diberikan kerana tidak mampu berpindah dalam masa terdekat akibat kemalangan jalan raya.
“Saya alami patah kaki kiri akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu dan masih belum pulih sepenuhnya. Sejak itu saya tidak bekerja kerana tak boleh berjalan.
“Bagaimana hendak pindah dengan keadaan begini. Minggu lepas terpaksa jalani pembedahan pada bahagian paha kerana terjatuh akibat lantai licin. Atap rumah bocor, bila hujan air mencurah ke lantai,” katanya ketika ditemui.
Bulan lalu, sekumpulan penduduk berhimpun secara aman bagi membantah tindakan pemaju yang mahu menghalau keluar dan merobohkan rumah.
Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah memberitahu, kerajaan negeri bersetuju supaya hanya rumah tidak berpenghuni dirobohkan berdasarkan keputusan dicapai dalam mesyuarat bersama pemaju serta wakil penduduk pada 21 Oktober lalu.
Seorang lagi penduduk, Lim Hua Kee, 66, kesal dengan pemaju yang mendakwa mereka tinggal secara haram di kediaman sendiri dan mahu melaporkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dia mendakwa, wujud elemen rasuah dan salah guna kuasa apabila pemaju enggan mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri.
“Mereka kata kami tinggal secara haram. Mereka sendiri tak ikut undang-undang,” dakwanya.
Perkampungan yang dikatakan sebagai tapak asal Kampung Baru Cina itu diteroka sejak 1960, dahulunya kawasan paya bakau dan ditambak oleh peneroka bagi pembinaan rumah.
Tapak yang menempatkan sehingga 700 rumah berkeluasan kira-kira 30 hektar itu kemudian diberikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada pemilik sekitar 1995. – UTUSAN










