Yang memberi rezeki hanyalah Dia – Hafiz Suip

Yang memberi rezeki hanyalah Dia – Hafiz Suip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Satu perkara yang harus diakui, ramai yang memuji perubahan diri Hafiz Suip kebelakangan ini. Kalau dahulu, dia sering dilabel sebagai penyanyi yang agak pendiam, serius dan sukar didekati, kini wajahnya tampil dengan sisi yang jauh berbeza.

Hafiz hari ini lebih ramah, positif dan ceria. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan, auranya terasa lebih terang berbanding sebelumnya.

Barangkali, benar, dia seakan sudah menemui keseimbangan hidup selepas melalui pelbagai liku, jatuh bangun dan ujian peribadi yang pernah menguji ketabahannya sebagai seorang insan dan anak seni sebelum ini.

Bercerita tentang perubahan dirinya itu, Hafiz tidak segan mengakui bahawa dia pernah menjadi seorang yang sangat tertutup dan sukar berinteraksi dengan orang sekeliling.

“Ya, saya dulu introvert atau lebih gemar buat hal sendiri. Saya selesa duduk sendiri. Tapi bila saya fikir semula, saya ini figura awam, dikenali orang. Saya kena belajar buka diri.

“Salah satu sebabnya, dunia sekarang berbeza, kalau kita tidak aktif, tidak terbuka atau bina perhubungan, orang akan rasa jauh.

“Saya belajar untuk berdamai dengan diri sendiri. Maksudnya, saya terima kekurangan saya, saya tenangkan hati dan tidak melawan apa yang saya tidak boleh ubah.

“Bila orang bagi tenaga negatif, saya sudah tidak cepat melenting. Saya senyum dan fikir positif. Apabila kita tenang, semua benda jadi ringan,” katanya sambil menghela nafas perlahan.

Pada masa sama, penyanyi berusia 35 tahun ini mengakui turut bersyukur apabila mengetahui ramai pihak terutama peminat dan rakan industri seni hiburan menyokong perubahan baik dirinya kini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur bila orang sekeliling cakap saya sudah lain, makin positif. Tapi sebenarnya, semua ni bukan untuk orang lain pun.

“Saya ubah diri sebab saya hendak rasa tenang. Bila kita bagi tenaga positif, dunia pun balas dengan tenaga positif.

“Kalau kita gelap, kita dapat gelap. Jadi, saya pilih untuk terus menyinari, walaupun cahaya itu kecil,” katanya.

Berkongsi lanjut, cerita penyanyi lagu Awan Nano dan Ku Akui ini, perkara paling besar yang dia pelajari dalam hidup adalah tentang hakikat rezeki dan kebergantungan kepada Tuhan.

“Saya pernah dinasihatkan, jangan terlalu berharap dengan makhluk. Berharaplah dengan Tuhan.

“Kadang-kadang kita fikir rezeki datang sebab bos, sebab kerja, sebab orang tolong. Tapi semua itu cuma asbab sebenarnya. Yang beri kita rezeki sebenar hanyalah Dia,” ungkapnya.

Tidak cuma itu, Hafiz menambah, prinsip itu membuatkan dia lebih tenang dalam menghadapi cabaran hidup.

“Bila kita faham konsep itu, kita tidak akan kecewa sangat bila sesuatu tidak menjadi. Sebab kita tahu, setiap perkara yang berlaku itu ada sebab.

“Kadang-kadang Tuhan tidak bagi apa yang kita mahu, sebab Dia tengah bagi apa yang kita perlu,” ujarnya.

LEBIH MENGHARGAI

Tidak semua perjalanan hidup Hafiz indah. Itu satu yang diakuinya sendiri.

Ada waktunya gelap, ada masa, dia juga pernah terjatuh dan hilang arah. Namun di sebalik semua itu, kata Hafiz, dia banyak belajar tentang kekuatan dan penerimaan diri.

“Sebagai seorang manusia biasa, bohonglah jika daya tidak pernah rasa menyesal akan sesuatu hal atau perkara yang berlaku dalam hidup.

“Tentu saya pernah rasa tertekan. Saya salahkan diri sendiri atas banyak perkara. Tapi bila saya renung semula, sebenarnya pengalaman tu yang mendidik saya.

“Kita tidak akan belajar kalau tidak lalui sendiri. Bila sudah kena sekali, baru kita tahu rasa sakit dan kita tidak akan ulang.Saya dulu suka marah diri sendiri. Tapi sekarang saya cakap baik-baik dengan diri. ‘Hafiz, kau boleh. Kau kuat.’

“Kita sendiri kena jadi motivator diri. Jangan tunggu orang bagi semangat. Kalau kita tak sayang diri kita, siapa lagi? Saya belajar banyak benda, satu daripadanya betapa besarnya nilai tenang apabila kita berupaya berdamai dengan takdir,” ujarnya.

DEBARAN KONSERT 1 NOVEMBER

Bersedia untuk menjayakan konsert istimewanya pada 1 November ini di Megastar Arena Kuala Lumpur, Hafiz mengakui debaran itu kini semakin terasa.

Namun apa yang lebih menggembirakan, sambutan peminat terhadap konsert berkenan baginya amat luar biasa.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan oleh pihak SAH Entertainment, penjualan tiket sudah mencecah sekitar 80 peratus. Itu satu rezeki besar bagi saya.

“Dalam dunia hiburan, kita tak mahu ada kerugian, dan setakat ini semuanya nampak baik,” katanya dengan nada syukur.

Menariknya, Hafiz memberitahu, kejayaan itu banyak didorong oleh hubungan baik yang dibinanya bersama peminat.

“Saya perasan, bila saya buat live di media sosial, sambutan memang luar biasa. Ramai yang tanya pasal tiket, macam mana mahu beli dan sebagainya.

“Kadang-kadang dalam satu sesi live itu saja, boleh terjual sampai 30 ke 35 tiket. Itu cukup buat saya rasa sangat gembira.

“Daripada situ saya tahu, sekarang ini orang hendak ada interaksi atau keterlibatan dengan artis, bukan sekadar tengok artis di pentas sahaja,” katanya.

Selain itu, dalam usaha menjadikan konsertnya nanti satu pengalaman berbeza, Hafiz memperkenalkan konsep yang cukup menarik.

“Kita hendak buat sesuatu yang orang akan ingat. Jadi, saya cipta tema khas, siapa yang datang single, pakai baju putih. Siapa yang datang berpasangan pula, pakai baju berwarna hijau,” jelasnya ceria.

Bagi Hafiz, tindakan itu berikutan dia mahu konsert kali ini bukan sekadar persembahan hiburan semata-mata.

“Saya tidak mahu orang datang hanya untuk tengok saya menyanyi. Saya mahu mereka rasa jadi sebahagian daripada momen itu.

“Apabila mereka balik nanti, mereka boleh kata, ‘aku bukan sekadar tengok Hafiz menyanyi, tapi aku pun ada sama dalam kenangan itu’,” akhirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN