Bulan Ramadan sememangnya cukup istimewa dan ramai yang tidak mahu melepaskan peluang menjalani ibadah berpuasa bagi merebut peluang pahala berganda.
Malangnya, ada individu yang tidak dapat memenuhi ibadah ini berikutan diuji dengan penyakit kronik.
Antaranya, orang yang mengalami kanser, mereka teruja untuk menjalankan ibadah berpuasa tetapi keadaan tubuh tidak mengizinkan.
Tidak dinafikan berdasarkan penyelidikan saintifik berkaitan puasa secara berselang-seli hari dan puasa Ramadan disamping terapi kanser berupaya melindungi sel sihat daripada kesan sampingan kemoterapi selain meningkatkan mekanisme pemulihan tubuh.
Namun bagi pesakit kanser yang ingin berpuasa, diingatkan untuk berbincang terlebih dahulu dengan doktor sebelum berpuasa supaya ia tidak menjejaskan kesihatan mereka terutama yang sedang menjalani rawatan.
Pesakit kanser sering tidak bermaya akibat kesan sampingan rawatan terutama selepas menjalani rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi. Walaupun ada rukhsah atau kelonggaran hukum syarak yang mengecualikan mereka yang sakit atau sedang menerima rawatan bagi penyakit serius daripada berpuasa, bagaimanapun keimanan yang teguh mendorong ramai pesakit untuk menunaikan ibadat ini.
Persoalannya, adakah selamat bagi pesakit kanser untuk berpuasa? Pakar Perunding Onkologi Klinikal, OncoCare Malaysia, Dr. Matin Mellor Abdullah berkata, pendekatan pragmatik yang mengimbangkan antara aspek praktikal, keselamatan dan kerohanian perlu ditekankan jika pesakit kanser ingin berpuasa.

“Ramai pesakit yang saya temui menyatakan hasrat untuk berpuasa. Saya boleh memberi nasihat daripada sudut perubatan.
“Apabila membabitkan soal kesihatan, pesakit kanser perlu menimbangkan perkara berikut sekiranya mereka ingin berpuasa pada bulan Ramadan ini.
“Setiap pesakit kanser berada pada tahap berbeza dalam rawatan mereka. Bagi pesakit yang sudah menjalani rawatan atau berada dalam fasa penyelenggaraan, sepatutnya tiada halangan berpuasa. Bagaimanapun, yang sedang menjalani pemeriksaan mungkin menghadapi kesukaran kerana ada banyak ujian yang diperlukan,” katanya.
Tambahnya, bagi pesakit yang sedang menerima terapi pula, mereka mungkin perlu membuat penyesuaian terhadap jadual pengambilan ubat. Sementara itu, yang menerima rawatan kuratif boleh meninggalkan puasa dan mematuhi jadual rawatan yang dirancang bagi memaksimumkan peluang untuk sembuh manakala pesakit yang menerima rawatan paliatif pula boleh menangguhkan rawatan selepas Ramadan.
“Penilaian ini mestilah dibuat mengikut kes, dengan mengambil kira keadaan kesihatan dan kesejahteraan setiap pesakit. Terdapat pelbagai jenis rawatan dan tindak balas setiap pesakit terhadap rawatan juga berbeza.
“Pesakit kanser mungkin menjalani radioterapi, kemoterapi atau terapi bersasaran dan setiap pesakit mengalami kesan sampingan yang berbeza. Sesetengah pesakit mengalami kesan yang lebih teruk berbanding orang lain. Sebagai contoh, kemoterapi kekal sebagai asas utama dalam rawatan kanser dan memang biasa untuk pesakit berasa tidak sihat selama beberapa hari, bahkan sehingga seminggu selepas rawatan,” katanya.
Menurutnya, antara kesan sampingan kemoterapi termasuklah hilang selera makan, berasa lemah, mendapat ulser dalam mulut dan mengalami ketidakselesaan gastrousus seperti cirit-birit atau gastritis.
Kadang kala, kesan sampingan ini begitu teruk sehingga memerlukan ubat untuk mengawal loya atau cirit-birit. Faktor-faktor inilah yang membezakan daya toleransi setiap pesakit terhadap rawatan dan kemampuan mereka untuk berpuasa.
Ubah jadual rawatan
Dr. Matin Melor berkata, pesakit kanser yang ingin berpuasa dinasihatkan berbincang dengan doktor untuk mengubah suai jadual rawatan sepanjang Ramadan ini supaya doktor membantu anda menyesuaikan jadual pengambilan ubat dan menangani sebarang kebimbangan yang mungkin timbul.
“Pilihan rawatan juga berbeza mengikut jenis kanser, lokasi dan tahapnya. Ini termasuklah kemoterapi oral dan ubat-ubatan untuk mengawal loya dan rasa sakit. Ubat-ubat ini biasanya perlu dimakan dua kali sehari dan pengambilannya boleh diubah ke waktu sahur dan iftar.
“Terapi hormon lazimnya diambil sekali sehari dan pesakit yang sudah biasa dengan kesan sampingannya boleh menyesuaikan waktu pengambilannya supaya ubat loya boleh dimakan apabila perlu. Bagi pesakit yang sudah menjalani beberapa kitaran rawatan, pengalaman dan kefahaman terhadap kesan sampingan dapat membantu mereka merancang puasa dengan lebih baik,” katanya
Katanya lagi, prosedur radioterapi dan perubatan nuklear yang diberikan di hospital juga boleh dijadualkan semula mengikut kesesuaian tetapi ia berdasarkan kekosongan slot dan atas nasihat doktor.
Bagaimanapun yang penting, pesakit perlu mengutamakan kesejahteraan diri dalam membuat keputusan untuk berpuasa. Ramai pesakit berusaha untuk berpuasa demi menunaikan ibadat, namun berasa kecewa apabila tidak dapat menyempurnakannya.
“Nasihat saya, tangguhkanlah dahulu hasrat berpuasa jika masih dalam proses penyembuhan daripada pembedahan atau yang kekurangan nutrien kerana badan tidak dapat bertahan jika berpuasa dalam keadaan demikian,” jelasnya.
Pesakit kanser yang dibenarkan berpuasa atas nasihat doktor, perlu mengutamakan hidrasi atau minum cukup air pada waktu bersahur dan berbuka puasa. Pilih makanan kaya khasiat protein dan serat bagi mengelakkan kehilangan otot dan keletihan.
Dr. Matin Melor menasihatkan pesakit untuk memastikan badan terhidrat dengan minum air secukupnya dan makan sajian seimbang yang mengandungi buah-buahan, sayur-sayuran serta protein supaya mereka mendapat nutrisi diperlukan.
Antara makanan tinggi protein seperti oat, yogurt dan kekacang.
Bagi mengelakkan keletihan, pesakit dinasihatkan mengelakkan makanan mengandungi gula atau manis, bergaram atau makanan bergoreng.
Lebih penting, perhatikan gejala atau simptom seperti dehidrasi atau keletihan melampau sepanjang berpuasa, rasa pening dan warna air kencing yang gelap.Sekiranya mengalami gejala ini, pesakit perlu segera berbuka puasa.
Katanya lagi, sama ada ingin berpuasa atau tidak, sebenarnya adalah pilihan peribadi dan pesakit sentiasa diingatkan penting untuk mengetahui batas kemampuan diri kerana tiada ubat untuk keletihan dan kadang kala, badan cuma perlukan rehat dan menjalani proses pemulihan.
Oleh itu, sebelum membuat keputusan untuk berpuasa berbincanglah dengan doktor, dengar isyarat tubuh anda dan ambil tindakan yang sewajarnya.
Jangan rasa bersalah kerana anda tidak dapat berpuasa. –UTUSAN










