Wujudkan elaun khas tingkat pendapatan doktor

Wujudkan elaun khas tingkat pendapatan doktor

Kerajaan disaran meneliti semula mekanisme meningkatkan pendapatan doktor melalui pemberian elaun khas atau tambahan, berbanding langkah memotong elaun ahli Parlimen bagi tujuan sama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disaran meneliti semula mekanisme meningkatkan pendapatan doktor melalui pemberian elaun khas atau tambahan, berban­ding langkah memotong elaun ahli Parlimen bagi tujuan sama.

Pengerusi Jawatankuasa Pi­lihan Khas Kesihatan Parlimen, Suhaizan Kaiat berkata, cadangan memotong elaun wakil rakyat bukan penyelesaian jangka panjang dalam menangani isu kadar elaun doktor yang rendah.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan perlu menumpukan usaha memperbaiki persekitaran kerja dan struktur ganjaran supaya golongan profesional kesihatan berkhidmat dengan lebih selesa serta tidak memilih untuk me­ninggalkan perkhidmatan awam.

“Saya rasa memotong gaji sesiapa pun bukan langkah jangka panjang yang sesuai untuk tampung gaji doktor. Elaun tambahan boleh diwujudkan bagi menambah pendapatan mereka.

“Persekitaran kerja yang kondusif pula penting supaya doktor terus komited berkhidmat di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Minggu lalu, akhbar ini melaporkan, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bersedia untuk berdialog secara konstruktif dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta semua ahli Parlimen bagi mencari jalan penyelesaian terbaik demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian perkhidmatan kesihatan negara.

Presidennya, Datuk Dr. R. Thirunavukarasu dilaporkan berkata, MMA memandang serius kenyataan terkini Yang di-Pertua Dewan Rakyat berhubung cadangan daripada badan pemikir bebas supaya elaun ahli Parlimen diselaraskan bagi menampung kenaikan elaun tugas atas panggilan (ETAP) doktor.

Sementara itu, Ketua Portfolio Kesihatan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya terbuka mengadakan sesi perbincangan bersama MMA dalam mencari formula terbaik mengenai isu elaun tersebut malah ruang dialog penting kerana persatuan itu mewakili majoriti doktor di seluruh negara.

“Tiada masalah berdialog malah saya pernah hadir ke pejabat MMA. Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen juga pernah memanggil mereka untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan sektor kesihatan.

“Dialog ini wajar diteruskan kerana MMA adalah peme­gang taruh utama dalam bidang perubatan,” katanya yang me­negaskan, isu elaun ETAP tidak seharusnya dilihat sebagai pertentangan antara doktor dan ahli Parlimen, sebaliknya me­nuntut kerjasama erat antara kedua-dua pihak demi kepen­tingan rakyat dan masa depan sistem kesihatan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN