WSSF2025: Angkat isu teknologi, keselamatan, kesihatan mental

WSSF2025: Angkat isu teknologi, keselamatan, kesihatan mental

STEPHAN Fasshauer (dari kiri), Fabrizio D’Ascenzo, Fernando Gabriel Perez dan Alison van Keulen pada Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sesi Plenari bertemakan ‘Trend dalam Pencegahan serta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan’sempena Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 memberi sorotan jelas bahawa masa depan pekerjaan global menuntut keseimbangan antara inovasi, keselamatan dan kesihatan mental.

Sebagai tuan rumah, Malaysia sekali lagi membuktikan keupayaannya menjadi jambatan pengetahuan antarabangsa apabila pentas berkenaan berjaya mempertemukan lebih 2,000 peserta untuk membahaskan cabaran dan peluang dalam dunia pekerjaan yang semakin kompleks.

Membuka tirai perbincangan, Presiden Institut Kebangsaan Insurans terhadap Kemalangan di Tempat Kerja, Itali, Fabrizio D’Ascenzo, menegaskan bahawa teknologi baharu perlu berpusatkan manusia.

Katanya, pendekatan itu penting agar setiap inovasi benar-benar menyumbang kepada kesejahteraan pekerja.

“Kami percaya semua aktiviti perlu kembali kepada manusia. Sebab itu kami membangunkan teknologi seperti ekoskeleton untuk membantu pekerja mengekalkan postur yang baik serta mengelakkan kecederaan berulang,” katanya.

Beliau turut berkongsi kejayaan Itali membangunkan t-shirt pintar bersensor, dron pemantau udara serta simulator realiti maya (VR) untuk latihan keselamatan.

“Dengan teknologi seperti simulator ruang tertutup, pekerja dapat memahami prosedur keselamatan tanpa terdedah kepada bahaya. Ini memberi latihan praktikal yang lebih berkesan,” katanya.

Sesi plenari kemudian diteruskan oleh Pegawai Penyeliaan Risiko Pekerjaan, Argentina, Fernando Gabriel Perez, yang menekankan matlamat menuju sifar kemalangan di tempat kerja.

“Kami sedang menghasilkan ujian-ujian perintis di sektor minyak, tenaga boleh diperbaharui, pembinaan, automotif dan agro bersama-sama kesatuan sekerja, pekerja dan pihak kerajaan.

Visi kami jelas untuk menuju ke arah sifar kemalangan,” katanya.

Fernando berkata, Argentina sudah menyaksikan penurunan hampir 40 peratus kadar kematian pekerjaan sejak 1997 hasil pendekatan Keselamatan 4.0 yang menggabungkan kecerdasan buatan, automasi dan penggunaan data masa nyata.

Isu kesihatan mental pula menjadi fokus Alison van Keulen dari Institusi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, United Kingdom.

Beliau berkata, masalah itu tidak boleh dipandang ringan kerana memberi kesan langsung kepada produktiviti global.

“Hampir 15 peratus populasi dewasa dunia berdepan cabaran kesihatan mental. Laporan WHO dan ILO menunjukkan kerugian ekonomi akibat masalah ini mencecah AS$1 trilion setahun,” katanya.

Alison turut menekankan bahawa pelaburan dalam kesihatan mental sebenarnya menguntungkan.

“Laporan Deloitte membuktikan setiap £1 yang dilaburkan boleh menghasilkan pulangan sebanyak £5.30 kepada perniagaan.

Kesihatan mental tidak boleh dianggap sampingan, ia mesti digabungkan ke dalam strategi organisasi,” katanya.

Perbincangan selepas itu turut mengulas cabaran melibatkan sektor pekerjaan informal yang sering terpinggir daripada dasar kesihatan mental, selain gesaan supaya pemimpin perniagaan memberikan komitmen jangka panjang terhadap budaya kerja sihat.

Keseluruhan sesi plenari ini memperlihatkan bagaimana gabungan teknologi, matlamat sifar kemalangan dan penekanan kepada kesihatan mental mampu menjadi kunci dalam mencipta persekitaran kerja lebih selamat, sihat dan produktif.

Malaysia selaku penganjur menegaskan kesediaan untuk memanfaatkan forum ini bukan sahaja sebagai tuan rumah, tetapi juga sebagai peneraju rantau dalam menterjemahkan dapatan kepada dasar yang memberi impak kepada tenaga kerja tempatan dan global.

Forum lima hari yang berlangsung sehingga 3 Oktober ini menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab perbincangan antarabangsa mengenai perlindungan sosial.

Ia dianjurkan Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta disokong oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN