KOTA KINABALU: Tindakan Parti Warisan (Warisan) yang mahu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah secara solo mencerminkan keazaman parti itu untuk membina kerajaan Sabah yang stabil, bersih dan berpaksikan rakyat Sabah.
Ketua Penerangan Wira Warisan, Mohammad Norizhuan Awang berkata, tindakan itu juga adalah isyarat tekad parti untuk membawa negeri ini keluar daripada belenggu politik.
“Sejak awal penubuhannya, Warisan konsisten perjuangkan kepentingan rakyat Sabah sebagai keutamaan utama dalam setiap dasar dan tindakan.
“Keputusan bertanding semua 73 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) dan menegaskan hanya akan bergabung dengan rakyat menunjukkan keyakinan kami Sabah mampu ditadbir sendiri tanpa bergantung kepada parti luar,” katanya.
Beliau berkata, apabila Sabah ditadbir sepenuhnya oleh anak watan melalui kerajaan tunggal yang berprinsip, tumpuan dapat diberi sepenuhnya kepada agenda pembangunan rakyat, peluasan peluang ekonomi, peningkatan taraf pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan sosial.
“Kita tidak lagi perlu menunggu ‘lampu hijau’ atau ‘restu’ daripada mana-mana pihak luar untuk membuat keputusan yang terbaik buat rakyat Sabah,” tegasnya.
Mohammad Norizhuan turut menegaskan, walaupun Warisan berhasrat mentadbir secara tunggal, parti itu tetap menghormati semangat federalisme dan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan.
“Sebagai bukti, Warisan adalah antara parti terawal menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentukan kerajaan Persekutuan selepas PRU15,” ujarnya. – UTUSAN










