KUANTAN: Jabatan Perikanan mempertimbang penggunaan kaedah analisis asid deoksiribonukleik persekitaran (eDNA) sebagai antara langkah bagi mengesan kewujudan ikan yang disyaki piranha di Empangan Klau, Raub, dekat sini tanpa bergantung sepenuhnya kepada tangkapan fizikal.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Roslan Abu Hassan berkata, kaedah itu membolehkan DNA organisma dikesan melalui sampel air dan berpotensi membantu mengesan kewujudan populasi ikan yang kecil atau sukar ditangkap.
“Bagaimanapun, eDNA lebih sesuai sebagai kaedah pengesanan awal kerana keputusan positif tidak semestinya membuktikan piranha menetap di lokasi berkenaan.
“DNA boleh dibawa arus dari kawasan lain dan sebab itu dapatan eDNA perlu disokong dengan bukti lain termasuk tangkapan fizikal serta pemeriksaan spesimen,” katanya kepada Utusan Malaysia bagi mengulas tentang perkembangan siasatan Jabatan Perikanan berhubung dua penemuan ikan yang disyaki piranha di kawasan Empangan Klau.
Roslan berkata, berdasarkan dua penemuan tersebut, penilaian hanya dapat dibuat berdasarkan rakaman video kerana spesimen fizikal ikan berkenaan tidak diserahkan oleh pemancing untuk pemeriksaan saintifik.
Ujarnya, penilaian teknikal Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi, Negeri Sembilan terhadap rakaman dan gambar penemuan terdahulu mendapati ciri morfologi yang dikenal pasti konsisten dengan genus Pygocentrus, iaitu kumpulan ikan piranha.
“Bagaimanapun pengesahan sehingga peringkat spesies masih tidak dapat dibuat berikutan ketiadaan spesimen fizikal untuk pemeriksaan lanjut. Antara ciri penting yang boleh membantu pengecaman ialah struktur gigi rahang, predorsal spine, preanal spine, ectopterygoid teeth dan susunan abdominal serrae,” katanya.
Beliau berkata, predorsal spine menjadi antara ciri diagnostik penting dalam membezakan piranha Pygocentrus dengan pacu Piaractus kerana struktur itu terdapat pada Pygocentrus tetapi tidak pada Piaractus.
Katanya, piranha mempunyai gigi yang sesuai untuk memotong cebisan daging manakala pacu mempunyai gigi lebih kukuh yang sesuai untuk menghancurkan bahan makanan keras.
Beliau berkata, setakat pemantauan semasa, belum terdapat bukti yang menunjukkan piranha sudah bertapak dan membiak sehingga membentuk populasi di Empangan Klau.
“Kesesuaian iklim tropika Malaysia secara teori tidak semestinya menghalang kelangsungan hidup spesies seperti Pygocentrus nattereri, namun ia tidak bermakna keadaan habitat Empangan Klau sememangnya sesuai untuk spesies berkenaan,” katanya. – UTUSAN











