KUALA TERENGGANU: Seorang warden penjara dihukum penjara lima tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya berusia 14 tahun, dua tahun lalu.
Fairus Abdullah, 42, dijatuhi hukuman itu selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapinya.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli dalam penghakimannya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat tahun bagi kesalahan di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 manakala penjara setahun lagi serta empat sebatan bagi pertuduhan tambahan mengikut Seksyen 16(1) akta sama.
Kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan secara berasingan bermula dari tarikh sabitan hari ini. Selain itu, tertuduh juga akan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan, Fairus didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang juga anak tirinya di sebuah rumah di Taman Desa MBKT Permint Jaya, Chendering kira-kira pukul 12.15 tengah malam pada 19 Julai 2023. – UTUSAN










