PETALING JAYA: Unjuran pertumbuhan ekonomi negara antara 4.0 hingga 4.5 peratus bagi tahun hadapan dilihat kukuh dan berupaya menampung keperluan pembangunan domestik serta fiskal negara.
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, kadar pertumbuhan tersebut masih berada dalam lingkungan yang sihat dan mencukupi bagi memastikan pembangunan negara kekal mampan.
Katanya, unjuran itu menunjukkan asas ekonomi negara kekal stabil walaupun berdepan ketidaktentuan global sekali gus memberi keyakinan terhadap keupayaan kerajaan mengurus fiskal dengan berhemah.
“Unjuran pertumbuhan KDNK antara 4.0 hingga 4.5 peratus untuk 2026 walaupun sedikit lebih rendah daripada tahun sebelumnya masih berada dalam lingkungan yang sihat dan mencukupi untuk menampung keperluan pembangunan domestik dan tanggungan fiskal.
“Ini terutamanya jika disokong oleh pentadbiran hasil yang lebih cekap, perbelanjaan awam yang berfokus kepada hasil (outcome-based spending) serta pelaburan strategik dalam infrastruktur sosial dan fizikal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) separuh pertama 2025 mencatat pertumbuhan memberangsangkan iaitu pada 4.4 peratus.
Mengulas lanjut, Idham berkata, kestabilan pertumbuhan tersebut boleh dicapai sekiranya kerajaan mengekalkan disiplin fiskal dan meneruskan pendekatan berasaskan hasil dalam pengurusan kewangan negara.
Katanya, tumpuan terhadap pelaburan strategik serta pembangunan inklusif penting untuk memastikan manfaat pertumbuhan dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat.
“Dengan pendekatan yang berdisiplin dan inklusif, kadar pertumbuhan ini mampu mengekalkan kestabilan fiskal sambil memacu transformasi ekonomi yang berterusan demi kepentingan rakyat.
“Pada masa sama, memperkukuh daya saing sektor swasta serta memperluas asas pendapatan negara juga menjadi faktor utama dalam memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan untuk jangka panjang,” katanya. – UTUSAN










