Umum calon PM awal ‘undang’ bahaya – Hadi - Utusan Malaysia

Umum calon PM awal ‘undang’ bahaya – Hadi

Abdul Hadi Awang ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat semalam. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan adalah bahaya jika parti itu menamakan calon Perdana Menteri (PM) mereka bagi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Katanya, gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) lebih memfokuskan integriti setiap pemimpin yang dipilih, di samping mengelakkan perkara yang boleh mengundang ‘bahaya’ kepada pemimpin tersebut.

“Mengapa kita tak namakan daripada awal, (sebabnya) nak jaga keselamatan, (kerana) ada bahayanya (jika kita umum awal siapa calon PM).

“Kadang-kadang kalau tahu dia calon Perdana Menteri, disogoknya jongkong emas, letak jongkong emas dalam kereta, letak dadah dan sebagainya (jadi orang itu) tidak boleh bertanding atas sebab yang berlaku, ini perkara perlu difahami semua pihak,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat semalam.

Katanya, Perikatan Nasional (PN) juga perlu memfokuskan kepada kemenangan parti terlebih dahulu sebelum berfikir soal siapa calon Perdana Menteri.

“Tak menang pilihan raya, (bagaimana) nak jadi Perdana Menteri?” katanya.

Isu calon Perdana Menteri daripada PN timbul selepas Bersatu meluluskan usul menamakan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon PM ke-11 pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, PN akan berusaha membuat perubahan dalam kepemimpinan negara jika menang pada PRU16.

Katanya lagi, Pas berusaha ke arah itu, termasuk memperkenal cara pemilihan Islam, dengan setiap calon yang bertanding dinilai dari segi integriti, ilmu dan akhlak.

“Kalau berlaku salah laku, bukan (hanya) salah laku terhadap parti, (tetapi) hal perlakuan moral pun, dipecat daripada parti, walaupun kita kurang kerusi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN