KUALA LUMPUR: UMNO meminta kerajaan menggubal semula Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dengan mengambil kira pandangan pihak berkepentingan sebelum dibentangkan di Parlimen.
Perkara itu antara yang diputuskan dalam Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar di Pusat Dagangan Dunia (WTC) semalam.
Ketua Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan RUU tersebut, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, konvensyen itu berpandangan, draf sedia ada mempunyai terlalu banyak kelompongan dan peruntukan yang tidak meyakinkan.
Katanya, selain itu, ia juga gagal menjamin perlindungan secukupnya kepada pemilik hartanah serta masyarakat setempat.
“Konvensyen ini secara tegas menuntut kerajaan supaya tidak meneruskan pembentangan RUU PSB sehingga ia digubal semula dengan mengambil kira cadangan, pandangan dan pendapat yang dibangkitkan.
“Konvensyen PSB mengusulkan tiga resolusi antaranya, menuntut RUU PSB tidak terus dibentangkan sehingga ia digubal semula bagi mengambil kira pandangan pihak berkepentingan dan menggesa kajian semula menyeluruh dan pindaan bersepadu terhadap akta sedia ada sementara menunggu RUU PSB diguba semula.
“Selain itu, mengusulkan penubuhan Lembaga Pembangunan Semula Bandar,” katanya pada sidang akhbar selepas konvensyen tersebut di sini semalam.
Johari berkata, konvensyen mengesyorkan agar kerajaan mempertimbangkan 14 cadangan khusus yang telah dicadangkan bagi menutup kelompongan dan kelemahan akta itu.
“Antaranya kerajaan bertanggungjawab memastikan kredibiliti pemaju; pampasan yang adil dan menyeluruh; penetapan nilai ambang persetujuan untuk pembangunan semula; tindakan kerajaan untuk menyelamatkan projek terbengkalai dan bangunan tidak selamat.
“Selain itu, larangan pemindahan penduduk oleh pemaju sebelum persetujuan dicapai; penubuhan jawatankuasa khas pembangunan semula di peringkat persekutuan dan negeri bagi setiap projek pembangunan semula bandar dan ketelusan penuh berkenaan insentif kerajaan,” katanya.
Sebelum ini pembentangan RUU PSB 2025 bagi bacaan kali pertama dibantah beberapa ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Ia turut menggesa bacaan kali kedua atau sesi perbahasan ditangguhkan selain RUU tersebut perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. – UTUSAN