Ahmad Zahid akui bertemu Hamzah di Bangkok

Ahmad Zahid akui bertemu Hamzah di Bangkok

AHMAD Zahid Hamidi dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada Sesi Pertemuan Khas Bersama Pengurusan Tertinggi Felda di Menara Felda, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengakui ada bertemu bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada tahun lalu.

Presiden UMNO itu berkata, perjumpaan tersebut sudah la­ma diadakan bukan dalam masa terdekat ini.

“Baru-baru ini tak ada, tapi lama dulu ada. Pada tahun le­pas,” katanya ringkas ketika di­temui pemberita sebaik selesai Sesi Pertemuan Khas Bersama Pengurusan Tertinggi Felda di Menara Felda, di sini semalam.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak berkongsikan intipati perbincangan dan lokasi ia diadakan.

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin men­dedahkan bahawa terdapat pertemuan ‘sulit’ antara Ham­zah dan Ahmad Zahid yang dikaitkan dengan ‘Bangkok Move’ antara punca Ahli Parlimen La­rut itu dipecat oleh parti Januari lalu.

Bagaimanapun, Hamzah menafikan tindakannya bertemu dengan pemimpin politik termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai mengkhianati parti kerana ia bukannya sau kesalahan.

“Kalau saya jumpa Perdana Menteri (PM), apakah saya jadi pengkhianat? Jumpa PM bukan satu kesalahan. Saya hanya mahu meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara serta memastikan perpaduan orang Melayu terus diperkukuh­kan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa UMNO sudah mempunyai senarai bekas-bekas ahlinya yang memohon untuk kembali ke pangkuan parti, namun enggan mendedahkannya buat masa ini.

“Senarai tidak perlulah di­kongsikan, nanti tiba masanya kita akan umumkan,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dalam satu kenyataan memaklumkan, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahlian untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.

Beliau berkata, pelawaan di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ itu juga dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan UM­NO. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×