Tunggakan PTPTN lebih 5 tahun, gaji RM6,000 antara disekat ke luar negara - Utusan Malaysia

Tunggakan PTPTN lebih 5 tahun, gaji RM6,000 antara disekat ke luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan menggariskan dua kategori peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang akan dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara mulai tahun depan.

Dalam dokumen ringkasan Belanjawan 2026 yang dikeluarkan hari ini, dua kategori tersebut adalah membabitkan peminjam yang mempunyai tunggakan PTPTN melebihi lima tahun dan berpendapatan lebih RM6,000 sebulan.

Kategori kedua pula adalah membabitkan peminjam yang bekerja di luar negara.

Jumaat lalu, ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan bersetuju mengenakan sekatan perjalanan ke luar negara kepada peminjam PTPTN yang mampu bayar dan bekerja di luar negara tetapi culas membuat bayaran balik.

Inisiatif itu adalah selaras dengan komitmen PTPTN dalam memastikan kelangsungan pendidikan tinggi bagi pembangunan modal insan negara.

Pada Jun lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mendedahkan terdapat seramai 400,000 peminjam PTPTN tidak pernah membayar langsung hutang pinjaman dengan nilai tunggakan RM5 bilion.

Ia membabitkan peminjam yang sudah menamatkan pengajian sejak lebih 10 tahun lalu namun masih belum melunaskan tunggakannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN