Tingkah laku ganas pelajar cerminan tekanan sosial - MMA

Tingkah laku ganas pelajar cerminan tekanan sosial – MMA

FADHLINA Sidek meluangkan masa membaca bersama pelajar selama 10 minit pada Majlis Perasmian Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya, Presint 9 (2). - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa semua pihak memperkukuh sokongan terhadap kesihatan mental dan keselamatan pelajar, susulan peningkatan kes keganasan melibatkan remaja di sekolah.

Presidennya, Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo berkata, peningkatan tingkah laku ganas dalam kalangan pelajar sekolah amat membimbangkan dan mencerminkan tekanan sosial serta psikologi yang perlu ditangani segera.

Katanya, pelajar kini berdepan tekanan akademik, pengaruh media sosial serta pendedahan kepada kandungan berbahaya dalam talian yang memberi kesan terhadap kesihatan mental.

“Insiden-insiden (jenayah) ini menjadi peringatan tragis terhadap peningkatan keganasan yang kini berlaku dalam ruang yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita.

“Sekolah seharusnya menjadi persekitaran yang selamat, namun keselamatan juga merangkumi sokongan terhadap kesejahteraan mental dan emosi pelajar,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, negara dikejutkan dengan beberapa kes rogol bergilir-gilir dan satu kes maut akibat ditikam yang semuanya berlaku kepada pelajar dalam premis sekolah.

Tambahnya, penggunaan gajet dan permainan video secara berlebihan juga dikaitkan dengan masalah seperti kurang tidur, pengasingan sosial dan perubahan tingkah laku.

Beliau turut menekankan keperluan pendidikan seks menyeluruh di sekolah bagi membantu remaja memahami hubungan sihat, rasa hormat dan batas peribadi.

“Pendidikan ini penting bagi membantu remaja memahami hubungan yang sihat, rasa hormat dan batas peribadi.

“Pendidikan yang betul dapat memberi pengetahuan kepada golongan muda untuk membuat keputusan bijak, melindungi diri serta menghormati orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, ibu bapa dan guru diingatkan supaya peka terhadap perubahan emosi anak-anak serta mendapatkan bantuan awal sekiranya wujud tanda-tanda kemurungan atau tekanan.

Katanya, perkhidmatan sokongan kesihatan mental tersedia di hospital kerajaan dan klinik, selain pengamal perubatan am (GP) yang berperanan sebagai barisan pertama mengesan tekanan atau gangguan mental.

“Melindungi anak-anak memerlukan usaha bersama. Kita perlu bertindak sekarang, bukan sahaja mencegah keganasan, tetapi membina generasi yang lebih sihat dan berperikemanusiaan,” katanya.

MMA turut memuji penubuhan Pusat Kecemerlangan Kebangsaan bagi Kesihatan Mental (NCEMH) di Cyberjaya yang disifatkan sebagai langkah penting kerajaan memperkukuh sokongan terhadap kesejahteraan mental rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN