SEOUL: KQ Entertainment tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang memfitnah dan memburukkan artis jagaan mereka iaitu kumpulan Ateez.
Agensi pengurusan bakat itu, dalam satu kenyataan memaklumkan langkah tersebut diambil berikutan penyebaran terlalu banyak laporan palsu membabitkan kumpulan berkenaan di laman maya.
“Pihak kami telah mengenal pasti penyebaran laporan palsu, cerita tidak benar dan kenyataan yang bertujuan memburukkan artis kami dalam platform maya dan media sosial.
“Tindakan ini tidak hanya menjejaskan reputasi artis dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peminat, tetapi juga menyalahi undang-undang.
“Justeru, KQ Entertainment tidak akan berkompromi, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku,” kongsinya.
Kenyataan itu antara lain dikeluarkan susulan kempen boikot yang dilaksanakan peminat selepas muncul spekulasi berkenaan pembabitan kumpulan tersebut dengan sebuah label terkemuka yang didakwa mempunyai hubung kait dengan zionis.
KQ Entertainment dalam masa sama menyeru peminat agar tampil mengadukan kepada pihaknya tentang sebarang laporan palsu dan tuduhan liar yang dilayangkan kepada kumpulan berkenaan.










