PETALING JAYA: Firma guaman, CBE (Chan Ban Eng & Co), telah mencatat satu detik bersejarah dalam landskap perundangan Malaysia dengan meraikan lebih lima dekad perkhidmatan profesional serta pelancaran sebuah buku bertajuk “Directors & Officers Liability Insurance: Selected Articles, Cases and Materials”.
Buku ini ditulis bersama oleh JJ Chan, Barrister-at-Law dari Gray’s Inn, London dan juga Rakan Pengurusan CBE, bersama Kevin LaCroix, seorang pakar global dalam bidang insurans liabiliti Pengarah dan Pegawai (D&O).
Karya ini turut menampilkan Kata Pengantar oleh Tan Sri Zainun Ali, Pro-Canselor Universiti Malaya, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia serta Ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
Dalam ucapan pembukaannya, Zainun menyatakan bahawa JJ Chan dan Kevin LaCroix telah menghasilkan sebuah karya yang mengisi jurang penting dalam literatur perundangan serantau, serta berpotensi menjadi rujukan bermakna kepada para pengarah syarikat, ahli akademik dan pembuat dasar di Malaysia dan rantau ini.
Beliau turut menegaskan bahawa buku ini merupakan penerbitan pertama seumpamanya di rantau Asia-Pasifik dalam bidang undang-undang yang khusus tetapi semakin relevan, iaitu insurans liabiliti Pengarah dan Pegawai — suatu bidang yang sebelum ini tidak mempunyai rujukan tempatan mahupun panduan kehakiman yang jelas di Malaysia dan rantau ini.
Menurut beliau lagi, penerbitan ini adalah bersifat perintis dan amat diperlukan, serta mampu memperkukuh kefahaman mengenai liabiliti dan perlindungan insurans D&O dalam kalangan ahli lembaga pengarah, pengawal selia, syarikat insurans, serta badan kehakiman.
JJ Chan dikenali sebagai peguam terkemuka dalam bidang litigasi kewangan, liabiliti korporat dan pengarah, insurans dan reinsurans, serta kecuaian profesional perubatan. Beliau merupakan peguam Malaysia pertama yang diiktiraf dalam pelbagai pengiktirafan berprestij, termasuk Asian Legal Business Asia’s Top 30 Litigators, Super 50 Disputes Lawyers, Malaysia & South-East Asia Law Awards, serta Asia Business Law Journal A-List of Top Lawyers 2025.
Baru-baru ini, beliau turut dinamakan sebagai “Peguam Kecuaian Profesional No. 1 di Malaysia” oleh Lexology Index Client Choice Awards 2026.
JJ Chan juga telah diprofilkan oleh media kerajaan, institusi alma mater beliau, Inns of Court School of Law, serta Gray’s Inn, London, termasuk dalam satu webinar yang akan datang — menjadikannya pengamal undang-undang pertama dari Malaysia yang menerima pengiktirafan sedemikian daripada institusi-institusi terkemuka tersebut. Selain itu, beliau berkhidmat sebagai Pakar Bidang (Subject Matter Expert) bagi Asian Institute of Insurance dan Singapore College of Insurance.
Rakan penulis, Kevin LaCroix, mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam bidang insurans liabiliti Pengarah dan Pegawai. Sebagai pengarang The D&O Diary, pandangan dan analisis beliau sering dirujuk oleh media antarabangsa terkemuka seperti The New York Times, The Wall Street Journal dan Financial Times.
Penting untuk dinyatakan bahawa buku ini tidak dijual secara komersial. Ia disediakan khusus untuk tujuan akademik sebagai sebahagian daripada sumbangan JJ Chan kepada pembangunan ilmu perundangan, serta usaha memperkukuh tadbir urus korporat dan keberkesanan lembaga pengarah.
Dalam majlis pelancaran tersebut, beberapa penerbitan dan penulisan pro bono beliau turut dikongsi, merangkumi pelbagai bidang termasuk kecuaian perubatan, undang-undang korporat dan komersial, serta insurans dan reinsurans.
Salinan buku ini telah pun dipersembahkan kepada Perdana Menteri Malaysia, Ketua Hakim Negara, para Menteri Kabinet, serta universiti-universiti terkemuka di Malaysia.
Majlis pelancaran ini dihadiri oleh tetamu kehormat dan tokoh industri terkemuka, antaranya Tan Sri Razak Ramli (Pengerusi Shangri-La Malaysia), Tengku Mohamed Fauzi Hamid (Naib Pengerusi SUHAKAM), Mohd Radhi Abas (Pengerusi Lembaga Penasihat, Jabatan Perdana Menteri), Dr Ahmad Fareed (Timbalan Ketua Pengarah Unit Mediko-Perundangan, Kementerian Kesihatan), Datuk Dr Arasu (Presiden Persatuan Perubatan Malaysia), Anwar Anis (Setiausaha Kehormat APHM), DatUK Mohamad Farid (Ketua Pegawai Operasi Kumpulan KPJ Healthcare), serta Chua Kim Soon (Ketua Pegawai Eksekutif PIAM).
Turut hadir ialah para Ketua Pegawai Eksekutif dan pemimpin daripada ICDM, FIDE Forum, MITBA, MCCD, serta wakil syarikat insurans dan reinsurans terkemuka termasuk Lloyd’s of London, selain institusi penjagaan kesihatan, pendidikan dan korporat dari seluruh rantau.
Pelancaran buku ini di Malaysia, bertepatan dengan sambutan lebih 50 tahun legasi CBE, adalah satu pencapaian yang tepat pada masanya serta signifikan, mencerminkan sumbangan berterusan firma ini terhadap pembangunan undang-undang, tadbir urus korporat dan kepimpinan lembaga di Malaysia dan Asia-Pasifik. – UTUSAN










