PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia mengesahkan telah merakam keterangan aktivis kontroversi, Fahmi Reza hari ini berhubung satu hantaran di media sosial, dipercayai kenyataan berunsur fitnah dan menghina Institusi Diraja melibatkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.
Proses merakam keterangan itu dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Bukit Aman di Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan bagi tujuan siasatan.
Katanya, siasatan dijalankan susulan satu hantaran yang dimuat naik oleh akaun Facebook Fahmi pada 15 Disember lalu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini, PDRM telah menerima sebanyak 284 laporan polis berkaitan isu yang sama dari seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, peruntukan kesalahan yang disiasat adalah di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut.
Jelasnya, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Selain mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Kumar berkata, PDRM menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang menghina Institusi Diraja selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau kandungan sama ada di ruang awam mahupun di media sosial,” katanya. – UTUSAN










