Tiga trek menarik untuk peminat ATV - Utusan Malaysia

Tiga trek menarik untuk peminat ATV

ISMAIL Wahab menunjukkan isyarat bagus bersama sebahagian daripada ATV miliknya di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Menunggang kenderaan serba rupa bumi (ATV) merupakan pengalaman menarik apatah lagi trek dilalui perlu meredah hutan belantara dan kawasan curam berbukit yang memerlukan kemahiran tinggi untuk mengendalikannya.

Cabaran itu boleh dialami di ATV Teras yang terletak bersebelahan Hotel Amverton Heritage, Ayer Keroh di sini.

Pengurusnya, Ismail Wahab berkata, sebanyak 20 ATV berkuasa 125cc (sentimeter padu) dan 200cc disediakan dengan kadar sewaan RM60 selama 30 minit.

Katanya, di kawasan seluas 1.2 hektar terdapat tiga trek disediakan iaitu trek santai sepanjang 2.7 kilometer (km), trek Rimba Valley (empat km) dan trek Rimba Hill (2.5km) yang dikhususkan kepada mereka yang mahir menunggang.

“Kita hanya benarkan mereka yang sudah biasa menunggang ATV menggunakan kedua-dua trek untuk kategori Rimba Valley dan Rimba Hill,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ismail berkata, idea untuk membuka ATV Teras timbul daripada minatnya yang mendalam terhadap sukan ekstrem tersebut.

Katanya, dia mengeluarkan modal mencecah RM100,000 bagi pembelian 20 ATV dengan mula beroperasi pada awal Januari lalu.

“Sewaan ATV seperti ini adalah yang pertama di sekitar Ayer Keroh. Saya menyewa tapak trek daripada pihak hotel. Saya buka perniagaan ini selepas saya berhenti kerja di salah sebuah kelab golf di Jasin. Alhamdulillah ada modal sikit saya cuba buat sewaan ATV,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN