Tiga syarikat, wanita didenda gaji pekerja asing

Tiga syarikat, wanita didenda gaji pekerja asing

SITI Nor Aisyah Ismail (tengah) dan tiga wakil syarikat pembinaan ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tiga syarikat pembinaan dan seorang wanita tempatan masing-masing didenda oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil serta membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) bekerja dan tinggal di premis bawah kawalan mereka, Ogos lalu.

Hakim Nazlyza Mohamad Nazri menjatuhkan hukuman denda berbeza terhadap kesemua tertuduh selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155). Semua syarikat berkenaan diwakili oleh wakil masing-masing manakala wanita tempatan itu hadir sendiri semasa perbicaraan.

Dalam kes pertama, Siti Nor Aisyah Ismail, 24, dijatuhi hukuman denda RM15,000 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda selepas didapati membenarkan tiga warga Bangladesh yang melanggar syarat pas kerja untuk tinggal dan bekerja di sebuah kilang pembuatan bot di Kampung Pulau Serai, Dungun.

Kesalahan itu dilakukan pada 20 Ogos lalu sekitar 11.55 pagi dan hasil siasatan mendapati tiga lelaki terbabit yang berusia antara 45 tahun hingga 25 tahun memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di bawah syarikat berbeza di Kuala Lumpur dan Johor namun telah melanggar syarat dengan bekerja di kilang milik tertuduh.

Bagi kes ini, mahkamah turut mendapati Siti Nor Aisyah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah subseksyen (2) akta sama, yang memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara maksimum 12 bulan bagi setiap imigran yang dibenarkan tinggal di premisnya.

Kes kedua pula melibatkan Nadi Construction Sdn. Bhd. yang didenda RM10,000 selepas didapati menggaji dua pekerja warga Myanmar tanpa pas yang sah di tapak projek menaik taraf Kompleks Sukan Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun pada 10 Ogos lalu.

Pemeriksaan dijalankan kira-kira pukul 4.10 petang itu mendapati dua lelaki berusia 20 dan 23 tahun bekerja sebagai tukang kayu dan simen di tapak pembinaan berkenaan tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan sah serta menerima gaji RM60 sehari. 

Siasatan mendapati syarikat berkenaan bertanggungjawab menguruskan kerja-kerja di tapak tersebut dan didapati bersalah di bawah Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap pekerja asing yang diambil bekerja tanpa pas sah. Kedua-dua warga asing itu sebelum ini telah dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen PATI Ajil, Hulu Terengganu.

Syarikat ASN Mall Enterprise turut dijatuhi hukuman denda RM5,000 selepas mengaku bersalah membenarkan seorang warga Myanmar tanpa dokumen sah tinggal di tapak pembinaan miliknya di Kampung Gong Cengal, Kemasik pada 20 Ogos lalu.

Pemeriksaan yang dijalankan sekitar pukul 2.30 petang mendapati lelaki berusia 22 tahun itu bekerja di tapak projek membina lapan unit perkedaian dan tidak mempunyai pas sah untuk berada di Malaysia. Dia kemudian dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Sesyen PATI Ajil atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala syarikat disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 55E(1) akta sama.

Sementara itu, syarikat Framepersecond Sdn. Bhd. pula didenda RM10,000 selepas didapati membenarkan dua warga Bangladesh tanpa dokumen sah tinggal dan bekerja di tapak projek Pembangunan Fasa 2 NIOSH Wilayah Pantai Timur di Kerteh, Kemaman pada 19 Ogos lalu.

Dua lelaki berusia 36 dan 35 tahun itu masing-masing didapati tinggal lebih masa, lebih dua tahun selepas tamat tempoh pas lawatan sosial dan pas kerja mereka. Syarikat berkenaan disabitkan di bawah Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara maksimum 12 bulan bagi setiap imigran yang dijumpai di premis tertuduh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×