SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) tidak pernah memaksa mana-mana parti komponen termasuk MIC untuk kekal atau keluar daripada gabungan itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap parti mempunyai hak membuat keputusan sama ada mahu terus bersama BN atau menyertai gabungan lain.
Beliau yang juga Presiden UMNO, berkata, pihaknya bersikap terbuka sekiranya MIC memutuskan untuk meninggalkan gabungan itu.
“Kita terbuka. Dahulu kita ada 14 parti komponen dalam BN dan tidak ada paksaan sama ada untuk masuk atau keluar.
“Jadi, sudah tentu mereka (MIC) akan buat keputusan bijak bagi menentukan gabungan mana yang akan disertai asalkan mereka tidak menyesal kemudian hari,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Ekspo Industri Sukan ASEAN di Pusat Konvensyen Setia Alam (SCCC) di sini, petang ini.
Sebelum ini media melaporkan, MIC tidak akan menjemput Ahmad Zahid untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu pada 16 November depan.
Presidennya, Tan Sri S. A. Vigneswaran memaklumkan mesyuarat itu akan berlangsung sehari dan memfokuskan hal dalaman parti dengan hanya dihadiri perwakilan serta delegasi MIC.
Mengulas lanjut, kata Ahmad Zahid, presiden parti tidak dijemput bagi menghadiri sesebuah mesyuarat agung parti lain bukan sesuatu perkara yang baharu.
“Kita menghormati keputusan rakan komponen itu yang sedang menumpukan kepada penyelesaian isu dalaman parti.
“AGM kali ini mereka mahu menyelesaikan masalah dalaman mereka dan tentunya kita beri ruang seluas-luasnya untuk menyelesaikan masalah itu,” ujarnya.
Dalam perkara berasingan, beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengambil kira pelbagai faktor sebelum menetapkan tarikh pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 termasuk jadual peperiksaan dan majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah pada 29 November depan.
“Perkara itu telah diambil kira termasuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kemungkinan mereka telah membuat penyelarasan dengan pihak UMS supaya dewan universiti tidak digunakan sebagai pusat pengundian.
“Ibu bapa yang datang bukan hanya dari Sabah tetapi seluruh Malaysia. Saya tidak nampak sebarang masalah kerana SPR sudah tentu mengambil langkah sewajarnya,” katanya.










