PETALING JAYA: Tiada sebarang kejadian pergaduhan apatah lagi jenayah pernah dilaporkan berlaku sebelum ini di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini iaitu lokasi insiden tragis seorang pelajar perempuan maut ditikam seorang pelajar lelaki semalam.
Seorang bapa kepada pelajar tingkatan empat sekolah berkenaan berkata, sepanjang anaknya menuntut di situ, tiada kejadian seumpamanya pernah dilaporkan berlaku oleh insiden yang berlaku semalam memang mengejutkan.
“Sebagai bapa, mestilah saya risau apabila kejadian seperti ini berlaku dan ini juga kali pertama ia terjadi. Sebelum ini saya tidak pernah dengar sebarang kejadian, termasuk pergaduhan, biarpun pelajar di sini terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati suasana di sekolah berkenaan agak sepi berbanding hari biasa dengan kehadiran pelajar yang ramai.
Kawasan sekolah yang lazimnya dipenuhi pelajar dan ibu bapa ketika waktu tamat persekolahan kelihatan lengang namun terkawal dengan pengawasan petugas keselamatan sekolah.
Turut kelihatan sebuah unit kereta peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada di kawasan berhampiran bagi tujuan pemantauan.
Sesi persekolahan bagaimanapun berjalan seperti biasa dengan kehadiran guru dan pelajar.
Difahamkan, pihak sekolah turut menyediakan sesi kaunseling kepada pelajar susulan kejadian berkenaan.
Beberapa petugas media turut berada di luar pagar sekolah bagi mendapatkan maklumat lanjut, namun pihak sekolah tidak membenarkan sebarang liputan di dalam kawasan premis atas faktor privasi dan keselamatan pelajar. – UTUSAN











