KUANTAN: Pemaju perumahan perlu memberi penekanan terhadap kualiti pembinaan agar pembeli tidak menjadi mangsa kepada rumah substandard yang tidak menepati piawaian.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, aspek kualiti adalah elemen utama yang perlu diutamakan dalam setiap projek perumahan demi kesejahteraan rakyat.
“Kualiti itu mustahak. Kalau beli rumah substandard, tak bagus, itu ada elemen penipuan. Rumah mesti ada kualiti dan ruang yang sesuai untuk keluarga, sama ada besar atau kecil,” titah baginda pada Majlis Pelancaran Projek Perumahan D’Marina Bayu Fasa 2B, di Tanjung Lumpur, di sini, hari ini.
Menurut baginda, selain kualiti, faktor tambahan seperti kemudahan internet, sistem solar dan reka bentuk mesra pengguna turut menjadi nilai tambah kepada kediaman masa kini.
Al-Sultan Abdullah turut menegaskan kepentingan memastikan projek perumahan disiapkan dalam tempoh masa ditetapkan bagi mengelakkan beban kos tambahan kepada pemaju dan kontraktor.
“Kalau tak siap pada masa yang ditetapkan, akan ada cost overrun dan kos pembinaan akan meningkat. Akhirnya, pembeli pula yang akan tanggung sebab harga rumah jadi tak kompetitif,” titah baginda.
Sementara itu, baginda bertitah bahawa projek perumahan di negeri ini wajar dibangunkan di kawasan strategik, terutamanya berhampiran bandar dan jajaran ECRL, yang dijangka mampu merancakkan lagi sektor hartanah negeri. – UTUSAN










