KOTA BHARU: Sindiket dadah di negeri ini menggunakan gaya hidup mewah sebagai ‘umpan’ bagi memerangkap remaja agar menjadi pengedar kecil-kecilan.
Gaya hidup mewah lengkap dengan kenderaan import, pakaian berjenama dan telefon pintar membuatkan ada dalam kalangan pelajar sekolah sanggup menjadikan tauke-tauke dadah sebagai idola.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pendedahan itu berpandukan maklumat yang diterima dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Tauke dadah ini pamerkan kemewahan seperti rumah besar dan sebagainya untuk tarik minat remaja.
“Akhirnya remaja terpengaruh dan mula menjadi pengedar secara kecil-kecilan. Bila nampak hasil lumayan, mereka terus terjebak,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Citra Remaja Unggul di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra di sini, semalam.
Mohd. Yusoff berkata, sebanyak 12 tangkapan dadah melibatkan pelajar direkodkan sepanjang tempoh sembilan bulan tahun ini.
Katanya, daripada jumlah itu Kota Bharu merekodkan tangkapan tertinggi iaitu lima kes diikuti Tanah Merah (4), Pasir Mas (2) dan Bachok (1).
“Jumlah tangkapan sama turut direkodkan pada 2024 menunjukkan bahawa masalah ini masih berterusan dan perlu ditangani sehingga ke akar umbi.
“Sebab itu kita tegaskan, dadah adalah musuh nombor satu negara. Sekali terjebak, ia merosakkan tubuh, minda, masa depan dan memusnahkan nilai insan serta institusi keluarga.
“Ketagihan ini bukan sekadar jenayah, tetapi ancaman kepada maruah bangsa dan keselamatan negara,” ujarnya. – UTUSAN










