PENDANG: Sebuah keluarga di Kampung Alor Ali di sini, nekad tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) walaupun rumah mereka dinaiki air mencecah kira-kira satu meter.
Mereka sudah terbiasa dengan banjir termenung termasuk kejadian dua tahun lalu yang menyebabkan mereka terpaksa tinggal di PPS selama sebulan.
Mahmud Che Nan, 62, dan isteri, Mahtom Hashim, 57, bersama tiga anak berusia 18 hingga 28 tahun lebih selesa berada di tingkat atas rumah dua tingkat itu.
“Anggota penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) ada datang menjemput, namun kami pilih untuk tinggal di rumah sahaja kerana rumah kami dua tingkat. Sebab kalau pindah sekali pun, mesti akan ambil masa lama.
“Dua tahun lepas, sebulan kami berada di PPS sebab banjir termenung. Tahun ini tak tahulah berapa lama, tambahan sudah dua kali banjir untuk tahun ini,” katanya ketika ditemui semalam.
Kata tukang kebun sekolah itu, air naik pada Sabtu lalu dengan cepat sehingga mereka gagal menyelamatkan pelbagai barangan dan perabot.
“Kampung ini lewat dilanda banjir dan lewat juga air surut sebab bergenang, kalau tengok cuaca pun tiada hujan tapi air tidak surut lagi. Kami sudah biasa dengan banjir temenung ini yang berlaku setiap tahun,” katanya.
Tiga daerah di Kedah iaitu Pendang, Kota Setar dan Pokok Sena masih dilanda banjir dengan 1,005 penduduk berlindung di enam PPS, setakat semalam. – UTUSAN










