Strategi Kebangsaan Anti Rasuah PKS tingkat integriti usahawan

Strategi Kebangsaan Anti Rasuah PKS tingkat integriti usahawan

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media Mensyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan di Menara Bank Rakyat hari ini. / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan mewujudkan Strategi Kebangsaan Anti Rasuah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi memperkukuh amalan integriti serta tadbir urus perniagaan dalam kalangan usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, objektif program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan usahawan PMKS mengenai kepentingan pengamalan etika dan integriti dalam perniagaan.

“Mekanisme pelaksanaan program akan diperincikan oleh Pasukan Petugas Khas yang diketuai oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi memastikan pelaksanaannya memberi impak dan manfaat yang optimum kepada usahawan PMKS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, antara syor yang dipersetujui untuk diperincikan di bawah Pasukan Petugas Khas tersebut adalah Pembentukan satu inisiatif yang dinamakan sebagai Strategi Kebangsaan Anti-Rasuah PKS bagi mendukung kejayaan Strategi Anti-Rasuah Nasional 2024–2028.

Beliau berkata, Pelaksanaan Pelan Tindakan Strategik Kebangsaan Anti Rasuah PKS diketuai oleh KUSKOP dan SME Corp serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan sokongan teknikal penuh daripada Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).

“Penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sebagai platform utama membantu PKS mempercepatkan dan menjimatkan kos pelaksanaan program anti-rasuah dan aktiviti yang berkaitan dan Penyediaan Rangka Perniagaan Strategik,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat juga dimaklumkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengenai prestasi semasa kemajuan Pelan Hala Tuju Memangkin Akses bagi PMKS dan syarikat peringkat pertengahan Malaysia (MTC) ke Pasaran Modal (2024 – 2028) di mana setakat 30 September 2025.

“15 daripada 36 inisiatif yang terangkum di dalam MSME MTC Roadmap telah dilancarkan dan mencatatkan kadar pelaksanaan sebanyak 42 petugas, yang melebihi sasaran purata sebanyak 20 petugas setahun.

“Mesyuarat juga bersetuju supaya Suruhanjaya Sekuriti terus mempromosikan pasaran modal bagi meningkatkan kesedaran dan penyertaan dalam kalangan PMKS serta MTC.

“Ia termasuk menjalin kerjasama strategik bagi meluaskan akses pasaran modal dan mempertingkat penyaluran dana termasuk perkongsian data PMKS dan MTC oleh kementerian dan agensi,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN