Felda lantik Ahmad Badri pengerusi baharu

Felda lantik Ahmad Badri pengerusi baharu

AHMAD Badri Mohd Zahir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir dilantik Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) baharu.

Felda dalam satu kenyataan berkata, pelantikan tersebut mampu memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecemerlangan pengurusan dan meneruskan agenda transformasi Felda selaras dengan aspirasi pembangunan negara yang mampan dan inklusif

Selain itu katanya, pelantikan mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kewibawaan, integriti dan pengalaman luas Ahmad Badri dalam menerajui organisasi strategik serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Beliau mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam sektor awam dan korporat sejak menyertai perkhidmatan awam di Kementerian Kewangan pada 1989. Sepanjang perkhidmatan beliau, pelbagai jawatan strategik telah disandang sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 2018 hingga 2020.

“Beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah di beberapa institusi utama negara seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB).

“Kini beliau memegang jawatan Pengerusi RHB Bank Bhd. dan Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), di samping menjadi Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Bhd.,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Felda sebelum itu memaklumkan bahawa tempoh perkhidmatan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi telah berakhir pada 30 Jun 2026.

Ahmad Shabery mula dilantik sebagai Pengerusi Felda pada 1 Julai 2023.

Sementara itu, kenyataan tersebut berkata, Ahmad Badri merupakan pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada University of Hull, United Kingdom, serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Felda yakin di bawah kepimpinan Ahmad Badri, organisasi akan terus memperkukuh agenda transformasi Kumpulan Felda, meningkatkan kemampanan ekonomi dan mencipta nilai yang lebih besar kepada lebih tiga juta warga peneroka.

“Kepimpinan beliau diharapkan dapat membawa Felda melakar pencapaian baharu demi memastikan kesejahteraan warga peneroka dan kemakmuran generasi masa depan terus terpelihara,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN