Bapa tukar pengakuan tidak bersalah rogol, amang seksual anak

Bapa tukar pengakuan tidak bersalah rogol, amang seksual anak

SEORANG lelaki menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas lapan pertuduhan berkaitan rogol dan amang seksual anak kandungnya. - UTUSAN/ NASRAWATI SYARIFUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Seorang bapa yang sebelum ini mengaku bersalah atas lapan pertuduhan rogol dan amang seksual membabitkan anak kandungnya, menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, 38, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan semula secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Pada 8 Jun lalu, lelaki itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan, namun hari ini menarik balik pengakuan berkenaan dan memohon untuk dibicarakan.

Lelaki itu didakwa melakukan dua kesalahan iaitu merogol anak perempuannya berusia 15 tahun, kira-kira pukul 12 hingga 2 petang, di kawasan ladang kelapa sawit, Kalabakan pada November 2023 dan Februari 2024. 

Tertuduh turut didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di rumah tertuduh dan kawasan ladang kelapa sawit, antara Februari 2024 hingga Oktober 2025 di beberapa lokasi berasingan sekitar daerah ini.

Selain itu, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara melakukan onani sambil menonton video lucah di hadapan mangsa, pukul 8 pagi, Julai 2024.

Pertuduhan bagi kesalahan rogol dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, manakala pertuduhan amang seksual fizikal dan amang seksual bukan fizikal masing-masing mengikut Seksyen 14 dan Seksyen 15 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Julai depan bagi serahan dokumen, pelantikan peguam dan pengurusan kes.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN