GEORGE TOWN : Jenayah terancang kini berkembang sebagai sebuah entiti perniagaan yang tersusun, berupaya menyesuaikan diri dengan teknologi serta membina ekosistem sendiri demi memaksimumkan keuntungan.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sindiket jenayah hari ini tidak lagi terikat kepada sempadan negara, malah beroperasi seperti organisasi perniagaan dengan memiliki pembiaya, penyedia teknologi, rangkaian kerjasama serta tenaga kerja yang diupah bagi menjalankan pelbagai aktiviti jenayah.
”Satu perkara yang jelas tentang jenayah terancang ialah ia merupakan satu aktiviti perniagaan. Jenayah kini adalah sebuah entiti perniagaan.
”Mereka tidak perlu mematuhi konsep kedaulatan, prosedur demokrasi mahupun instrumen dan institusi politik kerajaan. Mereka mempunyai peraturan mudah mereka sendiri yang dipatuhi sesama mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Persidangan Ke-17 Persatuan Kriminologi Asia (ACS) Sorotan Kontemporari Trend dan Corak Jenayah: Impak Kriminologi di sini, hari ini.
Katanya, pusat penipuan, ladang scam dan rangkaian perisian hasad kini berkembang sebagai ekosistem jenayah yang kukuh, malah teknologi seperti pengklonan suara berasaskan kecerdasan buatan (AI) menjadikan jenayah lebih mudah dilakukan.
Katanya, sindiket jenayah juga kini menyerahkan sebahagian operasi kepada pihak ketiga termasuk syarikat pengaturcaraan dan pengklonan, menyebabkan ada pihak yang diupah tidak menyedari mereka sebenarnya terlibat dalam aktiviti jenayah.
”Perkembangan ini menunjukkan jenayah moden bukan lagi bersifat konvensional kerana penjenayah mampu menyerang mangsa di negara lain, mencuci wang di beberapa negara serta menggunakan infrastruktur digital merentasi pelbagai bidang kuasa tanpa perlu bergerak secara fizikal.
”30 tahun lalu, seorang penjenayah perlu merentas sempadan untuk melakukan jenayah di negara lain. Hari ini, dia boleh duduk di satu bidang kuasa, menyerang mangsa di negara lain, mencuci wang di dua negara berbeza, menggunakan infrastruktur yang dihoskan di empat negara lain dan hilang sebelum matahari terbit,” katanya.
Mohd. Shuhaily berkata, penjenayah juga lebih pantas menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi berbanding kerajaan kerana mereka tidak terikat dengan prosedur pentadbiran atau perolehan yang rumit.
Menurutnya, kumpulan jenayah terancang hanya memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu inovasi, kerjasama dan membina kepercayaan terhadap platform yang digunakan bagi memastikan operasi mereka terus berkembang.
Beliau berkata, keadaan itu menuntut pendekatan baharu dalam bidang kriminologi supaya tidak lagi sekadar menjelaskan jenayah selepas berlaku, sebaliknya mampu menjangka ancaman lebih awal melalui penggunaan teknologi serta analisis baharu.
Katanya, penyelidikan jenayah juga perlu beralih daripada memberi tumpuan kepada individu semata-mata kepada pemahaman terhadap sistem, ekosistem dan kelemahan institusi yang dieksploitasi sindiket jenayah.-UTUSAN










