PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh penguatkuasaan dengan tumpuan kepada empat bidang utama dalam usaha membanteras rasuah serta penyelewengan yang merugikan negara.
Seiring dengan 58 tahun penubuhannya, keutamaan diberikan kepada aspek perolehan kerajaan, sektor penguatkuasaan, dana awam dan peruntukan khas kerajaan serta hasil pendapatan negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, fokus ini dirangka bagi memastikan setiap ruang yang berisiko tinggi rasuah dapat ditutup dan ketirisan wang rakyat tidak lagi berulang.
Kata beliau, siasatan kini bukan sahaja tertumpu kepada amalan rasuah di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah tetapi ia termasuk isu monopoli projek atau kartel projek, projek terbengkalai dan projek sakit.
“Fokus SPRM adalah ingin memastikan bahawa penjenayah rasuah kes berprofil tinggi atau grand corruption ini dibawa ke muka pengadilan dan wang yang dicuri dapat dikembalikan kepada kerajaan bagi membolehkan ia diguna untuk manfaat kepada rakyat.
“SPRM tidak pernah menutup sebarang kes, malah ada kes yang dibuka semula selepas menerima maklumat tambahan terbaharu,” katanya dalam temubual khas di Ibu Pejabat SPRM baru-baru ini.
Azam berkata, bagi sektor penguatkuasaan, SPRM memberi perhatian kepada kes sindiket yang menjejaskan sosioekonomi negara, antaranya penyeludupan, perjudian, pemerdagangan manusia, pengurusan permit pekerja asing, perlesenan, percukaian, macau scam dan perjudian dalam talian.
Turut diberi penekanan ialah penglibatan pegawai penguat kuasa di sempadan serta pintu masuk utama negara.
“SPRM juga akan menyiasat kes yang menjejaskan dasar kerajaan serta menafikan hak rakyat menerima manfaat.
“Manakala dalam hasil kerajaan, fokus ialah pada kes pengelakan cukai (tax evasion) yang menyebabkan kehilangan pendapatan negara termasuk cukai eksais, cukai jualan, cukai perkhidmatan, cukai pendapatan, cukai tanah, cukai pembangunan, duti hiburan serta duti import dan eksport,” jelasnya.
KEMAHIRAN PEGAWAI DIPERTINGKAT
SPRM turut memperkasa keupayaan pegawainya dalam bidang forensik siasatan bagi memastikan agensi itu kekal berkesan membanteras jenayah kewangan yang semakin kompleks.
Azam memberitahu, kemahiran dalam forensik siasatan penting bagi mengesan rasuah dan membuat penjejakan transaksi rasuah kerana jenayah kewangan sentiasa berevolusi.
“Dulu jenayah rasuah dikenali sebagai salah guna kuasa, kemudian sekitar awal 2000 hingga 2009 ia digelar jenayah ekonomi dan kini dikategorikan sebagai jenayah kewangan atau financial crime yang merangkumi pelbagai aspek serta merentasi sempadan.
“Pegawai SPRM terus diperkasa melalui peningkatan kemahiran dan pengetahuan, termasuk kursus dalam dan luar negara meliputi bidang operasi, pencegahan serta pendidikan masyarakat bagi memastikan mereka lebih berimpak dan profesional,” jelasnya.
Beliau berkata, tindakan juga diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 bagi kesalahan melibatkan aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan kesalahan lain yang menjana hasil daripada aktiviti haram.
USAHA PEMULIHAN ASET
Tumpuan turut diberikan SPRM kepada usaha pemulihan aset hasil jenayah rasuah berdasarkan cadangan kerajaan untuk mewujudkan undang-undang Perjanjian Pendakwaan Tertangguh (DPA) (Peferred Prosecution Agreement).
Azam menjelaskan, Jawatankuasa Tatakelola Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri baru-baru ini telah bersetuju dengan cadangan SPRM untuk membentangkan rang undang-undang berkaitan DPA pada sesi pertama Parlimen tahun hadapan.
“Undang-undang ini telah diamalkan di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura, yang membolehkan sesuatu pendakwaan ditangguhkan dengan syarat pihak bertanggungjawab bersetuju untuk memulangkan aset atau menanggung kerugian yang berlaku,” ujarnya
Beliau berkata sebagai contoh, sekiranya berlaku pencemaran sungai akibat tindakan sebuah syarikat, melalui DPA syarikat itu akan dipertanggungjawabkan untuk membaik pulih pencemaran dan menanggung kerugian penduduk terjejas dan jika gagal berbuat demikian mereka boleh didakwa di mahkamah.
Dalam pada itu, beliau berkata negara mengalami ketirisan besar akibat rasuah, salah guna kuasa dan penipuan dengan anggaran kerugian lebih RM277 bilion dalam tempoh enam tahun lalu, sekali gus menjejaskan kepentingan rakyat.
BONGKAR KES BERSKALA BESAR
Pelbagai kes rasuah berprofil tinggi termasuk sindiket berskala besar yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan berjaya dibongkar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Jika dilihat, antara kejayaan besar ialah pendedahan sindiket Counter Setting membabitkan penyeludupan warga asing tanpa melalui prosedur sah selain penyeludupan diesel, e-waste dan besi lusuh (metal scrap) serta barangan yang diikrarkan sebagai peralatan perubatan.
Malah, siasatan SPRM turut merangkumi ahli politik, bekas pemimpin negara, tokoh korporat dan sindiket yang bersekongkol dengan penguat kuasa bagi membocorkan maklumat operasi.
OPERASI MATF KUKUH PENGUATKUASAAN
SPRM kini mengetuai kerjasama rentas agensi menerusi Multi Agency Task Force (MATF) untuk membongkar, melumpuh dan mendakwa mereka yang terlibat dengan jenayah rasuah sehingga mendatangkan kerugian besar kepada negara.
Operasi MATF itu adalah susulan kejayaan Op Sohor baru-baru ini yang menumpaskan sindiket penyeludupan bersubahat dengan pegawai kerajaan yang korup.
Selain itu, beberapa operasi lain turut dijalankan antaranya Op Metal, Op Sikaro dan Op Karen yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan di negara ini.
KOMITMEN BERTERUSAN
Azam menegaskan, setiap kejayaan operasi ini adalah bukti komitmen agensi dalam memastikan wang yang dicuri dikembalikan kepada kerajaan untuk dimanfaatkan oleh rakyat.
Justeru, kata beliau, strategi SPRM yang merangkumi empat bidang utama serta operasi bersepadu bersama agensi lain adalah pendekatan tepat bagi menutup ruang penyelewengan.
“Sistem berasaskan digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) juga sedang dibangunkan bagi menapis pemohon tender supaya proses perolehan lebih telus dan mengurangkan campur tangan manusia.
“SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam rasuah. Usaha bersepadu ini penting untuk melindungi hasil negara dan memastikan pembangunan sampai kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN