PETALING JAYA: Lima peneroka haram termasuk seorang pekerja kilang durian direman kerana disyaki mengusahakan kebun tanaman durian dan terlibat dalam amalan pengubahan wang haram.
Kesemua mereka dipercayai memperoleh, menerima, memiliki, memindah dan menggunakan wang daripada aktiviti hasil tanaman pokok durian di tanah berstatus Hutan Simpan dan Tanah Kerajaan di salah sebuah daerah di negeri ini.
Perintah reman selama empat hari sehingga 3 Oktober ini dikeluarkan oleh Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan pagi tadi.
Sumber berkata, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan antara 40 hingga 60-an telah ditahan kira-kira antara jam 12 tengah hari hingga 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Raub, Pahang.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 hingga tahun lalu dan mereka memperoleh keuntungan daripada aktiviti haram ini sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.
“Empat daripada suspek merupakan pekebun dipercayai terlibat dalam urus niaga haram ini secara turun temurun yang juga didapati enggan menyertai program pemutihan yang ditawarkan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd yang telah dilantik sebagai pemegang pajakan tanah sah oleh kerajaan negeri Pahang,” katanya.
Sumber menambah, SPRM sedang berusaha mengenal pasti 33 lokasi kebun durian haram dalam kawasan tanah kerajaan dan hutan simpan kekal menerusi Op Sekat Durian Haram yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Pahang bermula 25 April 2024 bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bermula 2 hingga 19 September lalu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (b) AMLATFPUAA 2001.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan. – UTUSAN










