MARANG: Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) mengeluarkan arahan supaya solat hajat diadakan serentak di lebih 500 masjid di seluruh Terengganu selepas solat Jumaat esok sebagai tanda solidariti bersama perjuangan rakyat Palestin.
Pengerusi JawatanKuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerajaan negeri akan melakukan apa sahaja tindakan dalam bidang kuasanya bagi menyatakan solidariti terhadap Palestin sekali gus sebagai satu bentuk tekanan ke atas rejim Zionis.
Beliau berkata, selain solat hajat dan perhimpunan, beberapa program turut diadakan termasuk perarakan bot serta memperingati genap dua tahun Operasi Taufan Al-Aqsa.
“Kita akan lakukan apa sahaja dalam bidang kuasa kita. Sekarang ini kita mengadakan ceramah, solat hajat, perhimpunan, doa dan demonstrasi sebagai bentuk tekanan.
“Bagi negeri Terengganu, JHEAT juga sudah mengeluarkan arahan rasmi untuk solat hajat serentak di lebih 500 masjid di seluruh Terengganu selepas solat Jumaat esok. Beberapa negeri lain seperti Kelantan, Perlis dan Perlis turut mengambil langkah sama. Saya juga difahamkan teks khutbah Jumaat di negeri-negeri SG4 turut berkisar mengenai Global Sumud Flotilla (GSF),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Himpunan & Flashmob Solidariti Sumud Flotilla di hadapan Masjid Rusila, di sini, hari ini. Program yang berlangsung kira- kira- dua jam itu turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Sementara itu, Muhammad Khalil berkata, kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke negara ini wajar ditolak kerana pemimpin itu merupakan sekutu rapat rejim Zionis.
“Negara kita demokrasi. Rakyat berhak menyatakan isi hati bahawa ini bukan masa untuk menerima Donald Trump, yang merupakan penjenayah bersekongkol dengan Benjamin Netanyahu yang menzalimi rakyat Palestin,” ujar beliau. – UTUSAN










