GOMBAK: Jika sebelum ini, negeri pantai timur menjadi lokasi penyeludupan sindiket pengedaran dadah namun kini modus operansi itu berubah laluan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, namun kegiatan sindiket mula beralih ke utara apabila kawalan dan pemantauan di pantai timur dipertingkatkan.
Katanya, berdasarkan siri serbuan yang dijalankan sebelum ini, banyak dadah dikesan di bawa dari kawasan Pantai Timur.
“Sindiket ini sentiasa berubah-ubah. Kejap di Pantai Timur, kejap di utara. Mereka melihat semua ruang yang ada. Sebab itu saya kata, bila ada mana-mana pihak leka sedikit, mereka akan gunakan ruang itu,” katanya ketika ditemui media selepas sidang akhbar di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini hari ini.
Hussein memaklumkan, berdasarkan pemerhatian, ada di antara sindiket membawa masuk dadah berkenaan melalui laluan sah dan sebahagian lagi menggunakan jalan tikus atau laluan gajah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Apabila kawalan di darat diperketatkan, mereka beralih ke laut pula dengan menggunakan kapal nelayan atau bot lain,” katanya
Hussien berkata, sindiket dadah bukan hanya tertumpu kepada satu kawasan sebaliknya mempunyai rangkaian luas merentasi negeri.
“Mereka ini semua ada rangkaian dan bergerak secara bersindiket. Ada yang bekerjasama antara satu sama lain, malah ada juga yang beroperasi secara solo. Ia bergantung kepada persekitaran, keadaan pasaran dan permintaan pelanggan mereka,” katanya.
Katanya, pihak berkuasa masih mempunyai ruang untuk memperkukuhkan kawalan di sempadan kerana selagi bahan terlarang itu mampu dibawa masuk, ia menunjukkan masih wujud kebocoran di peringkat sempadan. – UTUSAN










