SEREMBAN: Pengguna yang berdepan isu pembelian bagi petrol RON95 meski layak menikmati harga subsidi RM1. 99 seliter menerusi Program Budi Madani RON95 (BUDI95) disaran menyimpan semua resit pembelian sebagai bukti untuk tuntutan semula.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan, berkata langkah itu penting bagi memastikan pengguna tidak terlepas menikmati subsidi hanya disebabkan berhadapan masalah teknikal seperti pengesahan MyKad atau sistem tergendala di stesen minyak.
“Saya percaya kerajaan akan melihat dan menyelaraskan perkara itu. Jadi simpan dahulu semua bukti itu. Jika benar berlaku transaksi, kerajaan akan menilai mengikut kaedah yang akan diumumkan kelak,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian pada Hari Terbuka Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) anjuran KPDN Negeri Sembilan di sini semalam.
Muhammad Zahir turut menjelaskan, tuntutan itu bukan hanya melibatkan syarikat pengangkutan awam dan barangan, tetapi juga individu serta penggiat ekonomi gig yang layak di bawah skim berkenaan.
“Setakat ini, pengguna industri layak menerima subsidi namun masih ada yang terpaksa membayar pada harga RM2. 60.
“Semua pihak perlu menyimpan resit pembelian jika dinafikan hak kerana itu bukti utama untuk semakan bagi buat tuntutan nanti,” katanya. – UTUSAN









