Semoga jadi lagu tema perkahwinan- Daniesh Suffian - Utusan Malaysia

Semoga jadi lagu tema perkahwinan- Daniesh Suffian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer muda, Daniesh Suffian, berharap lagu ciptaannya bakal mencuri hati pendengar khususnya kepada pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan.

Menurut Daniesh, beliau sudah meletakkan seluruh perasaan dan keikhlasan ketika menghasilkan lagu ‘Akhirnya Kamu’ yang juga dinyanyikan bersama penyanyi, Bella Astillah.

“Kalau ada pasangan yang gunakan lagu ini di majlis mereka nanti, saya anggap itu tanda doa saya telah dijawab.

“Ini kerana daripada awal saya cipta lagu ini niat saya memang nak hasilkan sesuatu yang boleh jadi simbol cinta sejati,” katanya ketika ditemui Utusab Malaysia baru-baru ini.

Tambah penyanyi itu, kolaborasi bersama Bella bukan sekadar projek muzik biasa, sebaliknya turut menyimpan cerita yang mendalam.

“Sepanjang proses ciptaan lagu, saya banyak berhubung dengan ibu Bella sebab kami nak hadiahkan sesuatu yang benar-benar bermakna buat dia. Bella tidak tahu langsung tentang rancangan ini pada awalnya.

“Kami memang serasi bekerja bersama. Dia faham gaya saya dan saya pun tahu bagaimana ingin bentuk vokal dia supaya sesuai dengan jiwa lagu ini,” katanya.

Daniesh berkongsi pengalaman bekerjasama dengan Bella begitu mudah dan menyenangkan kerana mereka berdua sudah saling mengenali sejak tujuh tahun lalu, selain berasal dari negeri yang sama, Sabah.

“Kalau suatu hari nanti saya dapat tengok pasangan bersanding dengan lagu ini berkumandang, itu dah cukup menggembirakan hati saya.

“Kejayaan bagi saya bila lagu boleh jadi sebahagian daripada kenangan terindah orang lain,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN