SEKTOR pembuatan diunjur kekal stabil sebanyak 3.0 peratus pada 2026 disokong oleh industri berorientasikan eksport dan domestik.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2026, manfaat daripada kitaran menaik teknologi global dijangka terus menyokong industri berorientasikan eksport.
“Kluster elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai pemacu utama dengan pertumbuhan mampan merentasi produk semikonduktor, terutamanya dalam segmen cip berikutan peningkatan permintaan dalam aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi.
“Perkembangan tersebut akan terus meningkatkan prospek pertumbuhan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan E&E global,” katanya.
Sementara itu, tinjauan itu turut mengunjurkan sektor pertanian berkembang sebanyak 2.2 peratuspada 2026 disokong oleh semua subsektor kecuali perhutanan dan pembalakan.
“Subsektor kelapa sawit dijangka mencatat pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) lebih tinggi berikutan peningkatan hasil buah tandan segar (BTS) dan kadar perahan minyak (OER).
“Peningkatan tersebut terutamanya didorong oleh jangkaan cuaca yang lebih baik, perluasan kawasan kelapa sawit matang serta penambahbaikan berterusan dalam amalan penuaian dan penerimagunaan mekanisasi.
“Di samping itu, kadar OER yang lebih baik, hasil daripada aktiviti penuaian yang lebih kerap dan pengurusan ladang yang lebih cekap dijangka meningkatkan kualiti buah serta mengurangkan kehilangan hasil.
“Perkembangan tersebut akan menyokong pertumbuhan keseluruhan subsektor kelapa sawit sepanjang tahun,” katanya.
Dari segi harga, purata harga MSM diunjur berada antara RM3,900 hingga RM4,100 setan metrik berbanding 2025 antara RM4,000 hingga RM4,300 selaras dengan peningkatan pengeluaran global MSM dan pengeluaran minyak sayuran pesaing lain.
“Sementara itu, subsektor getah dijangka pulih sejajar dengan pengeluaran lebih tinggi dalam segmen estet dan pekebun kecil.
“Pengeluaran subsektor ternakan, perikanan dan pertanian lain juga diunjur meningkat dipacu oleh pertambahan permintaan daripada perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelancongan.
“Selain itu, pelaksanaan pelan tindakan di bawah pelan induk keterjaminan makanan negara dijangka mendorong pertumbuhan subsektor berkenaan.
“Seterusnya, pelaksanaan inisiatif Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi menadenkan sektor pertanian dengan memberikan keutamaan kepada pertanian berskala besar, mempercepat pelaksanaan tanaman padi moden serta penggunaan teknologi terkini akan terus memangkin subsektor tersebut,” katanya. – UTUSAN











