Sasar kumpul 7.5 tan barangan kitar semula

Sasar kumpul 7.5 tan barangan kitar semula

ZALIMAN Sauli (tengah) bergambar bersama peserta pada majlis perasmian Program Perlis Go Clean – Fikir Dulu Sebelum Buang di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Unimap Kampus Alam, Arau Perlis hari ini. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Program Perlis Go Clean – Fikir Dulu Sebelum Buang mensasarkan pengumpulan 7.5 tan metrik barangan kitar semula dengan 30 peratus daripadanya adalah barangan plastik.

Selain itu, projek tersebut juga mensasarkan kutipan 800 kilogram (kg) sisa makanan bagi menghasilkan 400kg baja kompos.

Projek berkenaan adalah hasil inisiatif Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan E-Idaman Sdn Bhd.

Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, projek itu melibatkan 15 buah kampung dan 30 hero kebersihan turut dilantik bagi menjadi suara dalam mendidik serta memantau aktiviti kitar semula tersebut.

“Sebagai sebuah universiti teknikal, Unimap tidak tertumpu kepada teori dan penyelidikan semata-mata dan kami juga mahu ilmu yang ada digunakan untuk memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya pada majlis perasmian program itu di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam di sini hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth; Pengarah SWCorp negeri, Shamsuharizal Basir dan Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd, Zaki Abdul Aziz Daud.

Projek Perlis Go Clean – Fikir Dulu Sebelum Buang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Irnis Azura Zakarya yang merupakan inisiatif selama 12 bulan bagi meningkatkan kesedaran tentang 5R (kurangkan, guna semula, kitar semula, tolak pembaikan dan pengkomposan).

Sementara itu, Zaki berkata, pihaknya menyambut baik sebarang usaha membabitkan jalinan kerjasama akademik dan industri bagi meningkatkan kesedaran kitar semula dalam kalangan masyarakat.

“E-Idaman melalui projek sisa pepejal luar bandar negeri Perlis juga telah melakukan kutipan sisa domestik di 118 kampung di Perlis. Projek yang dilaksanakan oleh Unimap ini amat baik kerana dapat membantu mengurangkan janaan sisa di kawasan luar bandar,” katanya.-UTUSAN

CAPTION
ZALIMAN Sauli (tengah) bergambar bersama pada majlis perasmian Program Perlis Go Clean – Fikir Dulu Sebelum Buang di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Unimap Kampus Alam, Arau Perlis hari ini. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN