PETALING JAYA: Seramai 16 calon warden wanita yang juga bekas tentera sepenuh masa ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) selepas melalui proses saringan ketat dan temu duga terperinci.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemilihan itu dibuat daripada 162 calon yang menghadiri sesi temu duga fizikal di Inkubator Teknologi Makanan Mara, Kepong, Khamis lalu.
Beliau berkata, semua calon berkenaan melalui tiga komponen penilaian iaitu pemeriksaan indeks jisim badan (BMI), ujian kecergasan Bleep Test dan temu duga bersemuka bagi menentukan merit serta kelayakan mereka.
Katanya, calon yang berjaya akan dilantik sebagai warden luar sepenuh masa MRSM dan dijadualkan memulakan tugas pada 10 Julai ini.
“Warden MRSM bukan sekadar menjaga disiplin dan keselamatan pelajar, sebaliknya mereka berperanan sebagai murabbi yang menggantikan ibu bapa pelajar di asrama.
“Sebab itu, warden-warden ini akan turut menjalani latihan secara berkala untuk memahami dan menghayati Falsafah Pendidikan Mara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Asyraf berkata, usaha menempatkan warden wanita bekas tentera sepenuh masa itu juga diharap dapat membantu membendung budaya buli, salah laku disiplin dan gejala sosial di MRSM.
Katanya, langkah itu turut bertujuan membentuk persekitaran asrama lebih selamat, kondusif dan subur dengan suasana Islamik yang menekankan nilai adab, hormat-menghormati, kasih sayang, ukhuwah serta budaya menuntut ilmu.
“Semoga usaha ini dapat terus membendung budaya buli, salah laku disiplin dan gejala sosial, sekali gus membentuk persekitaran MRSM yang lebih selamat dan kondusif,” katanya. – UTUSAN










