RUU PSB: Resolusi dikemukakan UMNO akan dikaji - Utusan Malaysia

RUU PSB: Resolusi dikemukakan UMNO akan dikaji

NGA Kor Ming menghadiri majlis menyampaikan sumbangan kepada pelajar sekolah menengah dalam DUN Buntong pada Program Sumbangan Kasih MADANI Sempena Deepavali 2025, di Buntong di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiga resolusi yang diusulkan UMNO berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) dalam Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (PSB) akan dikaji secara terperinci oleh kerajaan bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan dasar pembangunan semasa.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, semakan terhadap resolusi tersebut akan dilaksanakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia).

Katanya, pindaan RUU PSB itu akan dilaksanakan sekiranya resolusi dan cadangan penambahbaikan yang dibentangkan UMNO itu adalah praktikal dan memberi manfaat kepada semua pihak.

“Sebagai sebuah kerajaan berjiwa rakyat, KPKT sentiasa mengamalkan dasar terbuka. Sebab itu saya selalu mengalukan-alukan pandangan yang bernas dan teguran konstruktif apabila merangka apa-apa akta atau undang-undang.

“Kerana niat kita adalah suci dan murni di mana RRU PSB ini dirangka dengan objektif adalah untuk membantu rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Sumbangan Kasih MADANI Sempena Deepavali 2025, di sini hari ini.

Pada program tersebut, seramai 625 pelajar sekolah menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buntong menerima sumbangan RM400 seorang melibatkan peruntukan sebanyak RM250,000.

Sementara itu, ditanya mengenai bila RUU PSB itu akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, Kor Ming berkata perkara itu akan dilakukan selepas selesai pembentangan Belanjawan 2026.

“Jadual Parlimen kali ini memberi keutamaan kepada pembentangan Bajet pada Jumaat akan datang, urusan kerajaan lain akan diadakan selepas Bajet. Jadi, kita ada lebih masa untuk kaji pandangan daripada konvensyen semalam,” katanya.

Terdahulu, Konvensyen PSB yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam, mengesyorkan tiga resolusi utama termasuk 14 cadangan khusus bagi memastikan pembangunan semula bandar tidak menjejaskan hak pemilik hartanah dan kepentingan rakyat.

Ketua Pasukan Khas UMNO untuk RUU PSB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata, resolusi pertama konvensyen itu menuntut kerajaan menangguhkan pembentangan RUU sehingga ia digubal semula dengan mengambil kira pandangan pihak berkepentingan.

Resolusi kedua menggesa kerajaan melaksanakan kajian menyeluruh sementara menunggu RUU digubal semula manakala resolusi ketiga adalah mengusulkan penubuhan sebuah agensi kerajaan untuk mengawal selia sebarang usaha perancangan pembangunan semula bandar, penjanaan sumber bandar dan penyenggaraan semula bandar supaya lebih teratur serta mampu menyelesaikan pertikaian antara pemilik, penduduk dan pemaju. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN