KANGAR: Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang diluluskan sebelum ini akan ditambah baik dari masa ke semasa termasuk melibatkan penambahan beberapa sektor lain.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, beliau menerima banyak pertanyaan berhubung penambahan sektor-sektor yang tidak tersenarai di bawah RUU itu dan berharap persatuan sektor terlibat dapat tampil bagi mengadakan perbincangan lanjut.
Katanya, penambahan sektor-sektor lain dalam RUU Pekerja Gig 2025 tidak perlu dibawa ke Parlimen dan hanya termaktub di bawah bidang kuasa Menteri Sumber Manusia.
“Buat masa ini, kita bagi fasa pertama jalan dulu sebab saya lihat ia memadai untuk meliputi sektor-sektor asas dalam rangkaian gig.
“Tapi kalau masa hadapan memerlukan kepada penambahan itu, ia tak perlu di bawa ke Parlimen dan hanya menggunakan kuasa menteri bersama dengan nasihat pakar dalam Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan institusi perburuhan,” katanya pada Perhimpunan Kesatuan Sekerja Bersama Menteri Sumber Manusia Peringkat Negeri Perlis Tahun 2025 di Hotel Putra Regency, di sini, hari ini.
RUU Pekerja Gig 2025 diluluskan di Dewan Rakyat pada akhir Ogos lalu dan bakal membolehkan lebih 1.2 juta pekerja sektor itu mendapat hak rundingan gaji dan syarat kerja.
Steven Sim berkata, melalui RUU itu, hak pekerja gig akan lebih terpelihara sekiranya berlaku sebarang pertikaian berikutan sebelum ini tiada sebarang institusi perburuhan melindungi golongan itu.
“Jadi selepas ini, jika berlaku pertikaian, mereka ada mekanisme seperti hak untuk berpersatuan, membincangkan mengenai isu gaji, kontrak minimum dan pelbagai lagi,” katanya.
Tambahnya, buat masa ini, RUU itu juga sedang menunggu perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong sebelum dapat dikuatkuasakan.
“Lepas RUU ini dikuatkuasakan, maka antara perkara yang boleh ditambah baik termasuklah penambahan sektor-sektor yang boleh dikira dalam gig ini,” katanya.-UTUSAN







