PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 disifatkan tidak realistik dan hanya memberi keuntungan kepada pemain industri yang menguasai sektor p-hailing dan e-hailing.
Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia dalam satu kenyataan berkata, RUU tersebut juga dibuat dalam keadaan tergesa-gesa tanpa mengambil kira kepentingan pemandu bagi kedua-dua sektor tersebut.
Katanya, lebih mendukacitakan skim perlindungan sosial untuk pekerja sektor yang diwajibkan di bawah RUU tersebut juga menindas pekerja sektor berkenaan.
“Cadangan caruman mandatori potongan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui setiap transaksi pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing adalah satu pengkhianatan. Ini kerana penghantar yang mendapat pendapatan anggaran RM5 ke RM10 setiap tempahan terpaksa mendapatkan lebih 100 pesanan sebulan hanya untuk layak perlindungan minima.
“Ini belum lagi dilihat pada pasaran semasa. Hakikatnya, hampir 40 peratus rakan penghantar akan dipaksa mencarum, tetapi tidak mendapat apa-apa manfaat. Ini bukan skim perlindungan sosial, ini skim rompakan dari poket pekerja.
“Perlindungan Sosial Bencana Kerja untuk pekerja sendiri sudah ada semenjak Tahun 2017 dan mengapa undang-undang ini mahu ditambah yang sedia ada dan menekan lagi?” katanya dalam menyataan hari ini.
Beliau mengulas bacaan pertama RUU Pekerja Gig 2025 yang dibentangkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, di Dewan Rakyat, semalam.-UTUSAN







