KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan antibuli mungkin akan dibentangkan secara berasingan bagi membezakan pendekatan terhadap kanak-kanak dan golongan dewasa, mengambil kira perbezaan latar serta bentuk tingkah laku antara kedua-dua kumpulan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kertas Kabinet berhubung cadangan itu akan dibentang kepada Jemaah Menteri bagi mendapatkan keputusan muktamad sebelum sebarang penggubalan dilakukan.
Katanya, RUU tersebut juga akan memperuntukkan kuasa untuk menubuhkan Tribunal Antibuli sebagai alternatif kepada mangsa yang tidak berpuas hati dengan prosedur sedia ada termasuk di peringkat sekolah atau pihak berkuasa.
“Populasi pelajar kini mencecah 5.1 juta orang di lebih 10,000 sekolah seluruh negara. Keadaan ini menunjukkan wujudnya perbezaan situasi yang sentiasa berubah antara golongan kanak-kanak dan dewasa.
“Banyak pihak bertanya sama ada kita perlu menggubal satu undang-undang yang terpakai kepada semua atau menggubal secara berasingan mengikut kumpulan umur.
“Perkara ini akan diputuskan oleh Jemaah Menteri selepas meneliti kelebihan dan kekurangannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Town Hall Antibuli: #GenerasiTanpaBuli bersama wakil murid di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Azalina berkata, jika undang-undang itu digabungkan untuk semua peringkat usia, ia mungkin menimbulkan ketidakseimbangan yang ketara kerana tahap kematangan, bentuk hukuman dan tanggungjawab undang-undang antara kanak-kanak dan orang dewasa berbeza sama sekali.
Katanya, definisi mengenai buli perlu diperincikan secara jelas dalam mana-mana undang-undang baharu yang bakal digubal kerana perbuatan buli kini tidak terhad kepada satu bentuk sahaja.
Katanya, buli boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk lisan, emosi, sosial dan siber, namun kesemuanya masih belum diperincikan secara jelas dalam undang-undang sedia ada.
“Penetapan definisi ini menjadi langkah pertama ke arah mewujudkan kerangka undang-undang yang lebih kukuh untuk menangani perbuatan buli di Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, RUU Tribunal Antibuli telah disiapkan dan kini berada dalam fasa libat urus di Pantai Timur sebelum diteruskan ke Sabah dan Sarawak.
Beliau berharap pembentangan bacaan pertama hingga ketiga dapat dilakukan dalam sidang Parlimen pada Disember ini seperti dijanjikan kepada Perdana Menteri.










