Haaland mahu cabar England di suku akhir

Haaland mahu cabar England di suku akhir

Erling Haaland
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Penyerang sensasi Norway, Erling Haaland menganggap aksi menentang England pada suku akhir Piala Dunia 2026, lusa, sebagai perlawanan paling istimewa dalam karier antarabangsanya setakat ini.

Bintang Manchester City berusia 25 tahun itu dilahirkan di England ketika bapanya, Alfe Inge Haaland beraksi bersama Leeds United sebelum membina nama sebagai antara penyerang terbaik dunia di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menurut Haaland, pertemuan dengan skuad The Three Lions itu turut menemukan semula dirinya dengan beberapa rakan sepasukan di peringkat kelab.

“Ia sememangnya perlawanan yang cukup istimewa buat saya kerana saya dilahirkan di England, bermain di sana dan bakal berdepan beberapa rakan sepasukan sendiri. Saya tidak sabar menantikan perlawanan ini,” katanya kepada pemberita di Miami.

Haaland muncul tonggak utama kejayaan Norway mara ke suku akhir pada penampilan pertama mereka di Piala Dunia selepas 28 tahun apabila meledak tujuh gol dalam empat perlawanan, termasuk dua jaringan ketika menewaskan Brazil pada pusingan 16 terbaik.

Pencapaian itu disifatkan Haaland sebagai sesuatu yang di luar jangkaan, malah mengakui tidak menyangka Norway mampu melangkah sejauh itu dalam kejohanan berkenaan.

“Menewaskan Brazil sudah cukup luar biasa buat kami. Kini kami akan menentang England di suku akhir Piala Dunia dan ia sesuatu yang amat istimewa buat seluruh rakyat Norway.

“Jika melihat sambutan di negara kami, jelas situasi seperti ini bukan perkara biasa. Sebab itu kami benar-benar menghargai pencapaian ini,” katanya.

England pula mara ke suku akhir buat kali ketiga berturut-turut di pentas Piala Dunia, namun masih memburu gelaran utama pertama sejak muncul juara Piala Dunia 1966.

Haaland menganggap England sebagai antara pasukan pilihan untuk menjulang trofi dan percaya tekanan kini lebih terarah kepada skuad kendalian The Three Lions itu.

“England merupakan antara pasukan pilihan. Jadi saya fikir semua tekanan sepatutnya berada di pihak mereka,” katanya.

Selain aksi cemerlang di atas padang, Haaland turut mencuri perhatian peminat di Amerika Syarikat (AS) menerusi keperibadiannya yang bersahaja.

Selepas menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Ivory Coast pada pusingan 32 terbaik, Haaland sempat mengenakan pakaian koboi lengkap dengan topi dan but di Dallas, malah video yang dimuat naiknya di media sosial menjadi tular.

“Saya sukakan rakyat Amerika. Mereka sangat menghiburkan dan saya menikmati pengalaman berada di sini.

“Setakat ini semuanya luar biasa, daripada perlawanan, stadium sehinggalah kemudahan latihan. Saya benar-benar gembira dengan pengalaman di Piala Dunia ini,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN