Malique ‘keluar gua’ bertemu Yasin Sulaiman selepas 20 tahun - Utusan Malaysia

Malique ‘keluar gua’ bertemu Yasin Sulaiman selepas 20 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zizi Kirana, 41, terharu apabila komposer dan penyanyi rap bertaraf legenda tanah air, Malique, sanggup mengetepikan prinsipnya untuk ‘keluar gua’ demi bertemu sendiri sahabat lamanya, Yasin Sulaiman, di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, November lalu.

Lebih menyentuh hati, pertemuan yang berlangsung ketika proses rakaman lagu Yang Tinggal itu menjadi detik istimewa buat Malique dan Yasin yang tidak bersua muka selama kira-kira 20 tahun.

Menurut Zizi, dia tidak menyangka Malique bersetuju meninggalkan rutin privasinya dan hadir sendiri ke hospital selepas dipujuk untuk bertemu Yasin, sekali gus menyaksikan pertemuan semula dua figura seni yang mempunyai sejarah persahabatan panjang.

“Abang Malique memang susah hendak keluar, tetapi demi lagu ini kami pujuk dia datang ke Hospital Bahagia kerana dia juga rindukan Abang Yasin yang merupakan sahabat lamanya.

“Apabila saya melihat Malique  bertemu kembali dengan sahabatnya itu, saya benar-benar tersentuh. Mereka sudah 20 tahun tidak bertemu dan bagi saya momen itu sangat berharga.

“Saya terfikir, ya Allah, momen ini sangat istimewa. Saya tidak tahu bila lagi saya akan berpeluang menyaksikan mereka bertemu. Sebab itu, saya akan simpan kenangan tersebut sampai bila-bila.

“Bagi saya, ia bukan sekadar proses menghasilkan sebuah lagu. Saya menyaksikan sendiri dua sahabat lama yang sudah dua dekad tidak bersua muka akhirnya dipertemukan kembali,” katanya.

Zizi berkata demikian ketika berkongsi perjalanan penghasilan Yang Tinggal, sebuah karya ciptaan Malique yang turut menampilkan vokal Yasin dan suara sekumpulan kanak-kanak Syria di studio Qarma, semalam.

Menurut Zizi, pertemuan bersejarah itu berlaku selepas mereka mendapat kebenaran untuk merakam vokal Yasin yang ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta bagi menerima rawatan.

Katanya, usaha mendapatkan kebenaran bukan mudah kerana mereka perlu melalui proses pentadbiran dan surat-menyurat dengan pihak berkaitan selama hampir dua minggu.

“Kami bertanya sama ada boleh datang ke Hospital Bahagia untuk bertemu Yasin dan jika dibenarkan, kami berharap dapat merakam vokalnya di sana. Pihak Icon Records  yang menguruskan segala proses mendapatkan kebenaran.

“Ketika itu memang tidak ada jaminan permohonan akan diluluskan. Kami serahkan semuanya kepada Allah. Kalau ada rezeki mendapatkan Yasin, Alhamdulillah. Kalau tidak, kami akan mencari penyanyi lain.

“Tetapi Allah permudahkan semuanya dan kami mendapat kebenaran untuk datang. Ketika itulah kami mula fikir bagaimana hendak melakukan rakaman kerana tentu lebih sukar jika perlu membawa Yasin keluar ke studio,” katanya.

Justeru, mereka mengambil keputusan membawa sendiri peralatan rakaman ke Hospital Bahagia Ulu Kinta sebelum pihak hospital menyediakan sebuah bilik bagi membolehkan proses rakaman dilakukan.

Menurut Zizi, Yasin memberikan kerjasama yang sangat baik dan berjaya menyelesaikan rakaman bahagian korus, bridge serta ad-lib dalam tempoh kira-kira satu jam setengah.

“Kami bawa sendiri mikrofon dan segala peralatan rakaman ke hospital. Alhamdulillah, pihak hospital sangat membantu dan memudahkan urusan kami dengan menyediakan sebuah bilik untuk merakam vokal Yasin.

“Dia pula sudah membuat persediaan, menyiapkan lirik dan memanaskan suara sebelum rakaman. Keadaannya juga baik dan dia kelihatan gembira dengan aktiviti serta rutin hariannya di sana.

“Dalam tempoh dua jam, kami berjaya merakam vokalnya untuk bahagian korus, bridge dan ad-lib. Bagi saya, perjalanan lagu ini sangat luar biasa kerana akhirnya membawa kami sendiri ke hospital untuk mendapatkan suara Yasin,” katanya.

Berkongsi mengenai permulaan Yang Tinggal, Zizi berkata, idea menghasilkan lagu berkenaan tercetus ketika dia sedang menyertai misi kemanusiaan dan belayar di Laut Mediterranean menuju ke Gaza.

Ketika hanya berbaki beberapa hari sebelum kapal yang dinaikinya dijangka dipintas, Zizi menerima mesej daripada Malique yang memaklumkan hasrat menghasilkan sebuah karya mengenai penderitaan anak-anak di Gaza.

“Ketika itu saya sedang belayar dan kami menjangkakan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi kapal mungkin akan dipintas. Tiba-tiba Malique hubungi saya, ucapkan semoga berjaya dan mendoakan agar kami sampai ke Gaza.

“Selepas itu, dia beritahu sedang menghasilkan sebuah lagu untuk Gaza, khususnya mengenai anak-anak yang menjadi mangsa kezaliman. Lagu itu belum mempunyai rangka melodi yang lengkap, tetapi dia minta saya rakam suara ketika berada di atas kapal.

“Saya cakap, macam mana saya nak rakam sebab saya cuma ada GarageBand dalam telefon yang sudah uzur. Bunyi enjin kapal pula kuat dan ketika itu saya sendiri sedang berdebar menunggu kemungkinan kami dipintas.

“Tetapi dia kata rakam sahaja kerana dia mahu dengar suara saya. Dia rasa rakaman dari atas kapal akan memberikan perasaan dan jiwa yang berbeza kepada lagu tersebut. Jadi, saya rakam sedikit suara bersenandung dan hantar kepadanya,” katanya.

Selepas selamat pulang daripada misi berkenaan, Zizi berkata, Malique mula mencari seorang penyanyi lelaki yang mempunyai karakter suara bernuansa Arab untuk melengkapkan karya tersebut.

Malah, nama penyanyi antarabangsa, Maher Zain, pernah disebut sebagai pilihan, namun proses mendapatkannya dijangka mengambil masa sedangkan Yang Tinggal mahu disiapkan dalam tempoh terdekat.

“Saya sedang transit di Dubai apabila Malique beritahu lagu ini memerlukan penyanyi lelaki. Dia mahukan suara yang mempunyai karakter Arab dan apabila saya tanya siapa yang dia fikirkan, dia jawab Maher Zain.

“Saya kata cita rasa dia memang tinggi kerana untuk mendapatkan Maher Zain tentu memerlukan masa dan banyak proses. Sedangkan kami mahu lagu ini disiapkan segera kerana ketika itu masih ramai saudara kita berada dalam misi kemanusiaan untuk Gaza.

“Selepas saya pulang ke Kuala Lumpur dan menghadiri acara solidariti di Axiata, saya bertemu Iman Tang. Daripada perbincangan kami, tiba-tiba timbul nama Yasin.

“Saya kata Yasin mempunyai karakter suara yang kami cari. Saya terus terfikir, bolehkah kita menghasilkan sesuatu seperti ‘Alhamdulillah 2.0’ menerusi lagu ini dan mengembalikan semangat karya mereka dahulu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN