Helikopter terhempas ketika kempen, Naib Presiden Zambia terselamat

Helikopter terhempas ketika kempen, Naib Presiden Zambia terselamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUSAKA: Naib Presiden Zambia, Mutale Nalumango berkata, beliau bersama tujuh individu lain terselamat tanpa sebarang kecederaan selepas helikopter yang dinaiki terhempas sejurus berlepas ketika berkempen menjelang pilihan raya bulan depan.

Zambia akan mengadakan pilihan raya pada 13 Ogos, dengan Presiden, Hakainde Hichilema dijangka memenangi penggal kedua sebagai pemimpin negara yang merupakan antara pengeluar utama tembaga di Afrika.

Nalumango, 71, memberitahu Diamond TV helikopter itu terhempas ketika beliau dan rombongannya meninggalkan satu perhimpunan kempen di bandar Nakonde di timur laut negara itu.

“Selepas kami berlepas, saya tidak pasti sama ada seminit atau dua minit kemudian, kami terus terhempas.

“Kami seramai lapan orang dan semuanya selamat,” katanya sambil tidak menunjukkan sebarang tanda kecederaan.

Beliau berkata, punca nahas masih belum diketahui, namun helikopter itu mengalami kerosakan teruk.

Menurut kenyataan kerajaan, Nalumango menjalani pemeriksaan kesihatan rutin selepas nahas itu sebelum dibenarkan pulang dalam keadaan sihat.

Gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan helikopter putih milik tentera udara Zambia terbalik di sisi selepas dipercayai merempuh sebatang pokok.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN