BUTTERWORTH: Pembahagian kerusi antara parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan depan hampir dimuktamadkan.
Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, ketika ini, persiapan terakhir sedang giat dijalankan sebelum pengumuman rasmi dibuat.
“Kita telah berunding dengan kepimpinan PH dan Barisan Nasional (BN), selain menjalin kerjasama dengan rakan-rakan dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Semua pembahagian kerusi hampir selesai dan senarai calon sedang dimuktamadkan,” katanya selepas menghadiri Majlis Graduasi dan Pelancaran Program Pemerkasaan Usahawan Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Pangkalan Udara Butterworth di sini, semalam.
Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, Amanah bakal mempertaruhkan beberapa calon yang akan diumumkan tidak lama lagi tanpa mendedahkan bilangan kerusi yang akan ditandingi.
“Yang pasti, kita akan terlibat dalam PRN kali ini. Calon yang akan dipertaruhkan juga adalah calon tempatan yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat setempat,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad memaklumkan bahawa parti itu menyasarkan untuk bertanding sehingga tiga kerusi pada PRN Sabah. – UTUSAN










