Rotan bukan penyelesaian buli di sekolah

Rotan bukan penyelesaian buli di sekolah

FADHLINA Sidek (lima dari kanan) ketika menghadiri Kempen Anti Buli 2025 anjuran Wanita PKR Pulau Pinang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Bukit Mertajam, semalam. – UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Hukuman rotan bukan penyelesaian terbaik dalam menyelesaikan isu buli di sekolah kerana setiap tindakan perlu mengambil kira keseluruhan aspek perkembangan kanak-kanak.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ramai yang kata ‘rotan saja’ tetapi ia tidak semudah itu kerana bagi Kementerian Pendidikan (KPM), pendekatan mesti bersifat mendidik dan holistik.

“Kita perlu lihat daripada sudut pembangunan emosi, sosial dan psikologi pelajar.

Pendekatan mendidik berbanding menghukum perlu diutamakan dalam menangani murid bermasalah, selaras dengan usaha membentuk pembangunan pendidikan holistik bagi membanteras gejala buli di sekolah,” katanya.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu menegaskan, kementerian mempunyai pelbagai bentuk intervensi termasuk amaran, penggantungan atau buang sekolah, namun tindakan itu bukan bermakna pelajar tersebut dibiarkan tanpa bimbingan.

“Apabila kita gantung atau buang pelajar, akhirnya mereka tetap kembali ke bawah sistem KPM untuk dibimbing semula. Jadi, penting bagi kita memastikan mereka terus diberi peluang untuk berubah,” katanya.

Rabu lalu seorang murid Tahun Empat yang ditemui tidak sedarkan diri dalam tandas lelaki sebuah sekolah di Seremban Rabu lalu disahkan maut akibat tekanan pada leher.

Media melaporkan polis mengklasifikasikan kematian itu mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan, iaitu buli melalui komunikasi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dipetik sebagai berkata, kanak-kanak berusia 10 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah tandas sekolah berkenaan sebelum dihantar ke sebuah klinik swasta.

Sementara itu Fadhlina berkata, KPM akan mematuhi sepenuhnya sebarang arahan atau pedoman daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung langkah pemakaian pelitup muka di sekolah, susulan kebimbangan terhadap peningkatan kes jangkitan influenza di beberapa negeri.

Namun katanya, setakat ini tiada arahan baharu dikeluarkan oleh KPM berkaitan pemakaian pelitup muka di sekolah selagi belum menerima saranan rasmi daripada pihak KKM.

“Kalau ada pedoman dan arahan daripada KKM, kita akan ikut. Setakat ini tiada masalah bagi KPM untuk melaksanakan sebarang syor daripada KKM. Jadi, kita masih menunggu saranan rasmi daripada mereka,” katanya.

Sebelum ini, tular dakwaan beberapa sekolah di Pulau Pinang mewajibkan pelajar memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga ekoran peningkatan kes influenza.

Namun, menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi, keadaan masih terkawal berdasarkan data Survelan Penyakit Seperti Influenza (ILI).

Bagi tempoh Minggu Epid (ME) 32 hingga ME 37, kadar jangkitan ILI berasaskan klinikal direkodkan antara 9.5 hingga 10.5 peratus, manakala kadar positif berasaskan makmal menunjukkan sedikit peningkatan kepada 26.7 hingga 28.9 peratus, dengan Influenza A kekal sebagai strain dominan.

Namun, kadar itu masih le­bih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatat antara 35.6 hingga 51.1 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN