Rogol pelajar: Pembantu kedai makan pula direman bantu siasatan

Rogol pelajar: Pembantu kedai makan pula direman bantu siasatan

SEORANG pembantu kedai makan berusia 18 tahun (tengah) dibawa ke Kompleks Mahkamah Balik Pulau di Pulau Pinang untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan berhubung satu kes rogol membabitkan pelajar perempuan berusia 14 tahun.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Seorang pembantu kedai makan direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung satu kes rogol membabitkan pelajar perempuan berusia 14 tahun.

Perintah reman yang bermula hari ini sehingga Jumaat itu dikeluarkan oleh Majistret Chia Huey Ting bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan.

Suspek yang berusia 18 tahun sebelum itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Balik Pulau di sini kira-kira jam 8.15 pagi dengan diiringi anggota polis.

Difahamkan, suspek yang juga teman lelaki kepada pelajar perempuan itu telah ditahan di kediamannya di Batu Kawan kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

Difahamkan juga, tangkapan tersebut dibuat susulan laporan polis oleh mangsa sebelum itu yang mendakwa bahawa dia telah dirogol oleh seorang guru sekolah.

Dalam pada itu, guru lelaki tersebut yang telah direman bagi membantu siasatan sejak Jumaat lalu bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

Jumaat lalu, suspek berusia 32 tahun itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya selepas mangsa yang juga pelajar di sekolah yang sama membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

Dalam laporannya, mangsa mendakwa telah dirogol oleh suspek di kawasan parkir terbuka sebuah kompleks beli belah di Persiaran Bayan Indah di sini, pada November tahun lepas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN