TAWAU: Sebanyak RM67.76 juta diperuntukkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melaksanakan 18 projek prasarana awam di daerah ini menerusi Program Sentuhan Kasih KPKT 3.0.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada RM156 juta peruntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk pelaksanaan projek-projek kesejahteraan rakyat di Sabah.
Menurut beliau, antara projek terbesar di bawah peruntukan RM67.76 juta itu ialah pembinaan tapak pelupusan sanitari Bukit Gemok bernilai RM43 juta yang dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang kepada isu pengurusan sisa pepejal di Tawau.
“Tapak pelupusan ini penting bagi memastikan kebersihan di daerah ini sentiasa terjamin dan terus membangun sebagai destinasi pelancongan utama di Sabah,” katanya dalam sidang media sempena Program Sentuhan Kasih KPKT 3.0 di Tawau, di sini hari ini.
Kor Ming berkata, Program Sentuhan Kasih KPKT telah menjelajah 400 lokasi di seluruh negara dan merupakan platform kementerian untuk turun padang menyantuni rakyat serta menyalurkan pelbagai bentuk kemudahan awam di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, dalam tempoh dua tahun pelaksanaannya, program berkenaan menyaksikan sebanyak 11,807 projek prasarana awam berjaya dilaksanakan di seluruh negara termasuk pembinaan taman Madani, tandas awam, medan selera Madani, pasar awam, parit dan jalan raya.
Jelasnya, beberapa projek besar turut dilaksanakan di negeri ini membabitkan peruntukan RM20 juta bagi membina Taman Botani Kota Kinabalu, tempat letak kereta moden di pusat bandaraya Kota Kinabalu (RM30 juta) serta RM35 juta bagi tapak pelupusan sanitari di Sandakan.
“Kita bukan sekadar berjanji, tetapi membuktikan dengan hasil. Setiap projek mesti memberi pulangan yang tinggi kepada rakyat dan dilaksanakan dengan harga paling berpatutan, selaras dengan Akta Perolehan Kerajaan yang baharu,” katanya. – UTUSAN










